Hina Gojek: Shamsubahrin adakan sidang media esok
SHAH ALAM - Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan beliau akan mengadakan sidang media berkaitan kenyataannya yang dikatakan ‘menghina’ aplikasi Gojek pada tengah hari esok.
“Esok saya ada sidang media untuk komen isu ini,” jawabnya ringkas ketika ditanya Sinar Harian berhubung kenyataannya itu yang membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia.
Difahamkan, sidang media tersebut akan berlangsung pada jam 12 tengah hari di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Hari ini, pemandu Gojek mengancam akan mengadakan demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantah dakwaan penghinaan terhadap kerjaya itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi di Malaysia.
Beberapa laporan media tempatan memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata, mereka akan menyerahkan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.
Igun berkata, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.
Berdasarkan satu video yang tersebar di Indonesia, Shamsubahrin membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan Indonesia.
“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut klip video itu.
Khamis lalu, Shamsubahrin mendakwa Gojek tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana ia dilihat bakal memberi banyak kesan negatif kepada masyarakat termasuk menyumbang kepada kadar kemalangan motosikal.
Menurutnya, kerajaan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk memperkenalkan pengangkutan terbaharu itu kerana kadar kesesakan jalan raya di Malaysia masih lagi terkawal.
“Saya tidak melihat apa perlunya kerajaan untuk mengikuti langkah beberapa negara jiran yang telah memperkenalkan pengangkutan teksi motosikal itu sedangkan keadaan trafik negara secara keseluruhannya masih lagi baik,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gojek ancam kepung Kedutaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!