KUIPSAS sedia anjur #QuranHour
KUANTAN - Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima seramai mungkin peserta program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang pada 30 Ogos ini.
Selaku tuan rumah, KUIPSAS dengan kerjasama Sekretariat Rumah Ngaji negeri Pahang komited memastikan program itu berjalan lancar dan mendapat sambutan.
Rektor KUIPSAS, Profesor Madya Dr Mohd Zawawi Zainal Abidin berkata, segala persiapan siap sepenuhnya termasuk hebahan dan promosi.
Menurutnya, KUIPSAS menyasarkan seramai mungkin peserta bagi memenuhi ruang masjidnya yang mampu menampung 3,000 peserta.
“Insya-ALLAH, kita jangka masjid penuh pada hari berkenaan. Selain daripada peserta dijemput daripada pelbagai institusi termasuk pelajar tahfiz dan sekolah-sekolah berhampiran serta masyarakat sekitar, penuntut KUIPSAS juga akan menyertainya walaupun kebetulan tarikh berkenaan kebanyakan mereka sedang bercuti,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya cukup bangga apabila KUIPSAS diberi peluang untuk menjadi tuan rumah Malaysia #QuranHour peringkat negeri kali ini.
“Sebenarnya kempen #QuranHour yang dicetuskan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) ini bukan baru bagi kami, sebaliknya KUIPSAS sentiasa turut serta dengan menganjurkannya di peringkat universiti.
“Kali ini ia lebih bermakna kami berpeluang berperanan secara langsung selaku tuan rumah Malaysia #QuranHour peringkat negeri,” katanya.
Menurutnya, pihak KUIPSAS juga komited dan bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran #QuranHour pada masa akan datang.
“Secara peribadinya saya melihat program berinteraksi dengan al-Quran ini cukup baik apatah lagi melalui pengisiannya yang fokus kepada penghayatan kepada surah-surah tertentu untuk difahami dan dihayati pengertiannya.
“Pada masa sama, KUIPSAS juga komited untuk memperbanyakkan sambutan program-program keagamaan bagi menyemarakkan syiar Islam,” katanya.
Beliau mengalu-alukan orang ramai ke Masjid KUIPSAS pada tarikh berkenaan bermula jam 10 pagi untuk turut serta.
Sementara itu, Penyelaras Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, pihaknya meneruskan tradisi bersama menjayakan Malaysia #QuranHour 1440H/2019 yang bakal diadakan serentak di seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62.
Menurutnya, sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini akan dirasmikan Pemangku Timbalan Rektor (Akademik, Pengantarabangsaan, Inovasi dan Penyelidikan) KUIPSAS, Dr Effat Mokhtar.
“Majlis turut diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari jemputan, Muhammad Izzan Idris dan pengtausiahnya, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIPSAS, Dr Asmawi Abd Rahman.
“Dalam konteks pengisian, memandangkan masa yang agak terhad kerana ia berlangsung pada hari Jumaat, jadi kita akan lebih memberi penekanan kepada bacaan 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf yang menjadi surah pilihan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!