'Kok' mahal pado 'riyal'
RANTAU PANJANG - [DIKEMASKINI] Nilai Ringgit Malaysia (RM) atau lebih dikenali sebagai 'riyal' di Kelantan yang lebih rendah berbanding baht atau 'kok' menggalakkan rakyat Thailand pulang ke kampung mereka.
Keputusan dibuat selepas tidak mampu menanggung perbelanjaan lebih tinggi di negara mereka selain dompet menjadi 'kurus' setiap kali tukaran dibuat dalam baht.
Difahamkan, rakyat Thailand yang bekerja di Malaysia mengubah laluan ke kota raya Bangkok dan bandar besar lain di negara itu untuk mencari rezeki.
Situasi itu diakui warga Thailand, Che Wil Che Soh, 50, yang bekerja sebagai pembawa motosikal tambang di pintu masuk Sungai Golok.
"Sejak kejatuhan nilai baht permintaan terhadap perkhidmatan motosikal tambang semakin berkurangan. Biasanya kami tak 'menang tangan' mengangkut rakyat Thailand yang berulang alik bekerja di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, situasi itu memberikan kesan kepada pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan motosikal tambang.
Katanya, sebelum ini dia mampu memperoleh pendapatan mencecah lebih RM200 sehari namun sejak kejatuhan mata wang Malaysia pendapatannya semakin berkurangan.
"Nak dapat 10 pelanggan sehari pun susah. Tambah pula keadaan ekonomi yang tidak menentu termasuk di Thailand.
"Saya berdoa semoga keadaan ekonomi Thailand dan Malaysia kembali pulih seperti biasa," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pekan Golok Thailand semalam mendapati kadar tukaran RM100 bersamaan 724 Baht.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!