Disiplinkan diri untuk menyimpan

Abang Abu
Abang Abu
A
A
A

SHAH ALAM - Disiplin diri yang tinggi untuk membuat simpanan merupakan asas terpenting bagi seseorang individu dalam mencapai kejayaan kewangan demi kesejahteraan masa depan.

Pakar motivasi kewangan atau lebih dikenali sebagai Abang Abu Mekanik Wang berkata, jika disiplin itu dapat dibentuk, bukan sesuatu yang mustahil seseorang yang berpendapatan kecil mampu mempunyai simpanan tetap.

“Cara-cara untuk menyimpan sememangnya banyak tetapi apa yang paling penting adalah kita kena disiplinkan diri, kalau tidak boleh (disiplinkan diri), jangan harap kita boleh menyimpan.

“Jadi kalau kita hendak ubah keadaan kewangan, kita kena ada simpanan. Bagaimanapun kita sering terjerat dengan keinginan yang melebihi kemampuan.

“Keadaan itu akhirnya menyebabkan kita sering berdepan dengan masalah kewangan, hutang yang bertambah dan untuk menyimpan itu jauh sekali,” katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live bagi membincangkan tajuk 'CCRIS, CTOS Nak Buat Apa Ni?’ di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai perbelanjaan melebihi kemampuan, Abang Abu atau nama sebenarnya, Abu Ayyub Al-Ansari berkata, asas utama yang perlu diketahui untuk mengelakkan diri daripada terjerat dengan masalah kewangan adalah dengan mengukur kemampuan diri.

“Masalah (terjerat dengan masalah kewangan) bukan sahaja berpunca daripada kos hidup yang meningkat tetapi diri disebabkan keinginan diri yang meningkat.

“Namun apa yang menjadi masalah, pendapatan tidak pula meningkat dan akhirnya mendorong mereka untuk membuat pinjaman yang akhirnya mengakibatkan beban kewangan semakin bertambah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi menggalakkan lebih ramai menabung dengan kaedah yang praktikal tetapi berkesan, orang ramai diajak untuk menyertai program ‘Simpan Challenge’ dengan mengikuti tip-tip menarik.

“Buat permulaan menyimpan dengan kadar kemampuan terlebih dahulu dan selepas berjaya melepasi fasa mendisiplinkan diri kita tambah simpanan sedikit demi sedikit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!