Pembantu kesihatan maut nahas empat kenderaan
HULU SELANGOR - Seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak maut dalam nahas kemalangan empat kenderaan di Kilometer 41 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, jam 7.30 malam semalam.
Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kesihatan awam, Mara'ai Md Aris, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran Ladang Guru Nanak.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah Gombak ke Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan dan berlakunya perlanggaran dari depan dengan sebuah kereta Perodua Myvi 1.5
"Pada masa sama sebuah lagi Perodua Myvi 1.3 yang berada di belakang Myvi 1.5 tidak sempat mengelak lalu terbabas.
"Sebuah lagi kenderaan iaitu motosikal Yahama 135LC di belakang Myvi 1.5 berkenaan turut tidak sempat elak dan terjatuh di bahu kiri jalan.
"Pemandu Myvi 1.5 seorang lelaki berusia 48 tahun mengalami cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya.
Beliau berkata, pemandu Myvi 1.3 berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan namun penunggang motosikal terbabit berusia 29 tahun patah kaki kanan.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera akan dirujuk ke Hospital Selayang manakala bedah siasat mangsa meninggal dunia dilakukan jam 11.30 malam hari tadi.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disiasat oleh Inspektor Nur Syahirah Adiba," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!