Pelantikan Pemangku Raja termaktub dalam Perlembagaan
JOHOR BAHRU - Pelantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja pada 11 Ogos lepas adalah satu tradisi turun-temurun bermula semasa pemerintahan Temenggong Ibrahim sejak 1825 hingga 1862.
Kedudukan tersebut pada mulanya dikenali sebagai Wakil Mutlak ditukar kepada Pemangku Raja selepas termaktubnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan pada 14 April 1895.
Fasal 9 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor memperuntukkan seorang Pemangku Raja yang sesuai untuk mengambil alih peranan raja untuk mengelakkan kesulitan serta melicinkan kesinambungan ketika raja gering atau meninggalkan negeri.
ARTIKEL BERKAITAN: TMJ dilantik Pemangku Raja Johor
Mengikut fasal tersebut, jika raja keluar negeri atau bersemayam di luar negeri melebihi 30 hari, Pemangku Raja perlu memegang tanggung jawab sultan ketika ketiadaannya.
Namun, dengan adanya pengangkutan moden dan sistem komunikasi, fasal tersebut telah dipinda dan tempoh ketiadaan tidak dinyatakan, malah tempoh masa Pemangku menjalankan tugasnya juga tidak dinyatakan.
Pada 25 April 1984 sehingga 25 April 1989, Sultan Johor, Sultan Ibrahim telah dilantik sebagai Pemangku Raja apabila ayahandanya Sultan Iskandar telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Pada ketika itu, baginda mengambil peluang untuk mendalami pentadbiran dan urusan negeri serta mendekati rakyat dengan mengadakan Kembara Mahkota Johor pada tahun 2001.
Tunku Ismail juga telah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 4 Mac 2011 ketika Sultan Ibrahim melawat ke luar negeri untuk beberapa waktu.
Seperti ayahandanya, Tunku Ismail turut mengambil peluang untuk mendekati rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!