Pelepasan 500 penyu simbolik kemerdekaan
KUANTAN - Kira-kira 500 anak penyu dari spesies agar dilepaskan sebagai simbolik kemerdekaan negara di Pantai Cherating di sini hari ini.
Pengerusi Hospital Pakar KPJ Pahang, Mohd Johar Ismail berkata, sebagai simbolik kepada semangat kemerdekaan tahun ini, mereka memilih untuk 'membebaskan' 500 ekor anak penyu agar dalam usaha meningkatkan populasi spesies berkenaan.
“Kebebasan ini adalah satu jiwa... satu minda kita yang tidak dikongkong dengan situasi terlalu kecil dan tidak bermanfaat.
"Makna merdeka bukan sekadar kebebasan kepada kita, namun turut boleh diterjemahkan kepada kesinambungannya yang berterusan... jadi dengan membebaskan anak penyu, kami berharap ini dapat membantu mengawal habitat dan ekosistem alam secara berterusan," katanya ketika ditemui pada Program Pelepasan Anak Penyu sempena Hari Kebangsaan 2019 di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating di sini.
Pada program itu, Mohd Johar juga menyampaikan sumbangan RM1,521 daripada warga KPJ Pahang bagi membantu perbelanjaan pusat konservasi penyu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!