Ramai rakyat Malaysia sakit mental?
KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 10,000 lay kaunselor pada tahun hadapan bagi membendung masalah mental yang semakin membimbangkan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sehingga tahun 2018 sebanyak 5,500 individu berjaya dilatih sebagai Lay Kaunselor dalam program yang berkonsepkan sukarelawan tersebut.
“Pada tahun hadapan kita akan memperkasakan lagi program ini (Lay Kaunselor) untuk gandakan jumlah yang ada kini.
“Sesiapa yang ingin menjadi lay kaunselor perlu melalui ujian saringan dan pergi kursus selama tiga hari untuk mendapatkan sijil kelayakan,” katanya selepas menghadiri Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Kampung Pandan Dalam di sini.
Program lay kaunselor yang bermula sejak 2015 tersebut merupakan kerjasama antara Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang ia berperanan memberikan khidmat nasihat serta bimbingan kepada ahli komuniti yang memerlukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!