Kereta buruk tersadai sulitkan peniaga
SERI KEMBANGAN - Kotor dan mencacatkan pemandangan, itu antara keadaan yang dapat digambarkan di sekitar kawasan perusahaan Seri Kembangan di sini apabila puluhan kereta tersadai di kawasan parkir.
Malah ada di antara kereta ini tidak dapat digunakan lagi namun dibiarkan tersadai sekali gus menyukarkan puluhan peniaga dan pemilik industri di kawasan ini.
Perkara ini dibangkitkan oleh Persatuan Peniaga dan Pengusaha Sederhana dan Kecil Seri Kembangan mendakwa apa yang berlaku seolah tidak terkawal dan memberi kesulitan kepada para peniaga.
Pengerusinya, Ho Sow Chin berkata, kebanyakan kereta yang diletakkan di kawasan parkir ini merupakan kereta yang rosak dan tidak lagi dapat digunakan.
"Kereta ini dibiarkan di sini, kami pun tidak tahu siapa pemiliknya, apa yang menjadi masalah adalah mereka meletakkan di kawasan parkir yang sepatutnya dapat digunakan pekerja dan pelanggan di sini.
"Jadi bila diletakkan di tempat parkir yang disediakan, pelanggan nak letak kenderaan jadi sukar dan terpaksa parkir secara bertindih.
"Ini mengakibatkan aliran trafik disini terganggu," katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Peniaga dan Pengusaha Sederhana dan Kecil Seri Kembangan di sini hari ini.
Katanya, perkara ini tampaknya sukar diselesaikan kerana sukar mengesan pihak yang bertindak sebegini.
"Kami berharap ada campur tangan daripada pihak PBT iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya bagi mengatasi masalah ini.
"Selain itu, kami turut ajukan perkara ini kepada pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah," katanya.
Dalam pada itu, selain isu kereta tersadai, kawasan ini turut menjadi lokasi pembuangan sampah secara haram.
"Ada pihak sesuka hati membuang sampah di beberapa sekitar kawasan ini, baru-baru ini YB ada beri peruntukan untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), jadi kuranglah sikit aktiviti tu.
"Namun ada beberapa lagi yang perlu dipasang dan untuk itu kami cuba mencari cara untuk menambahkan pemasangan CCTV ini," katanya.
Pemilik kilang, Jerry Kong berkata, isu yang menimbulkan kesulitan kepadanya adalah berkaitan parkir.
"Depan kilang saya jadi sesak, gara-gara terpaksa parkir bertindih, nak parkir di tempat disediakan pula tak boleh, sebab ada kereta tersadai yang diletakkan.
"Memang jadi masalah, terutamanya pada waktu kemuncak sebab jalan depan ni akan sesak, saya harap pihak bertanggungjawab ambil tahu tentang perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, satu pertemuan telah diaturkan bersama pihak ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Hian Wah berkata, pihaknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk apa yang dihadapi para peniaga dan pengusaha kilang di sini.
"Untuk masalah berkaitan kereta tersadai, saya telah bawakan isu ini kepada pihak MPSJ untuk diambil tindakan selanjutnya.
"Manakala bagi masalah sampah, saya telah memberi peruntukan sebanyak RM10,000 untuk pemasangan CCTV dan setakat ini, kegiatan pembuangan sampah secara haram nampaknya berjaya diatasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!