KEMAMAN - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menjadi pemuas nafsu teman lelakinya yang juga pelajar tingkatan empat apabila dirogol dalam kejadian di sebuah rumah di Cheneh di sini Sabtu lalu. Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengikuti remaja lelaki itu pulang ke rumahnya selepas mereka keluar bersama. Menurutnya, mangsa yang sudah tidak bersekolah keluar dengan kekasihnya berumur 16 tahun kira-kira jam 10 malam. "Selepas membawa mangsa ke rumahnya, suspek bertindak merogol mangsa dan kejadian itu berlaku sekitar jam 11.30 malam. "Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang semula ke rumahnya," katanya. Hanyan berkata, ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai pada keesokan harinya. Menurutnya, suspek ditahan polis di rumahnya kelmarin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu. Kata beliau, suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.