Beberapa laluan sekitar Bandaraya Alor Setar ditutup
ALOR SETAR - Beberapa jalan di sekitar Bandaraya Alor Setar akan ditutup pada waktu tertentu dan dilencongkan ke laluan lain sempena penganjuran beberapa acara bermula hari ini hingga Sabtu.
Ketua Polis Daerah Alor Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, laluan itu ditutup bersempena raptai teknikal, raptai penuh Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah 2019 dan Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah 2019.
Menurutnya, hari ini, penutupan jalan semasa raptai teknikal perbarisan Hari Kebangsaan dilakukan di Jalan Pekan Melayu ke Simpang Mahkamah Lama dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari.
"Jadi, kenderaan dari arah Persiaran Sultan Abdul Hamid dilencong ke arah Jalan Tunku Ibrahim, kenderaan dari arah Jalan Putra dilencong ke arah Lebuhraya Darul Aman dan kenderaan dari arah Lebuhraya Darul Aman dilencong ke arah Jalan Putra.
"Manakala, penutupan jalan mulai Simpang Bunga Tanjung Hingga ke Simpang Tambang Badak dilakukan bermula jam 7 pagi hingga 1 petang pada 29 dan 31 Ogos demi memberi laluan kepada raptai penuh dan perbarisan," katanya.
Susulan itu katanya, kenderaan dari arah Persiaran Sultan Abdul Hamid dilencong ke Lebuhraya Sultan Abdul Halim, kenderaan dari arah Lebuhraya Darul Aman dilencong ke Jalan Tambang Badak/Bulatan Teluk Wanjah dan kenderaan dari arah Jalan Putra dilencong ke Jalan Tengah/Jalan Meranti.
Menurutnya, kenderaan dari arah Jalan Raja dilencong ke arah Jalan Tunku Ibrahim dan kenderaan dari arah Jalan Langgar dilencong ke arah Lebuhraya Sultan Abdul Halim.
"Untuk itu, beberapa laluan dicadangkan sebagai kawasan parkir awam, iaitu Jalan Langgar, Jalan Stesen, Jalan Limbong Kapal, Jalan Kolam Air, Jalan Kampung Perak dan Jalan Pegawai," katanya.
Menurutnya, semua bas yang membawa peserta perbarisan menurunkan peserta di Simpang Jalan Raja/Jalan Tunku Ibrahim sebelum parkir di pekarangan Stadium Darul Aman.
"Bagi raptai penuh Sambutan Ambang Merdeka 2019, jalan mulai simpang Galeri Kawasaki Tunku Ibrahim ke simpang Jalan Tunku Ibrahim/Jalan Sultan Badlishah akan ditutup dari jam 6 petang hingga 12.30 tengah malam pada 29 Ogos," katanya.
Untuk itu, katanya lagi, kenderaan dari arah Jalan Raja dilencong ke arah Jalan Pekan Melayu/Lebuhraya Darul Aman, kenderaan dari arah Lebuhraya Darul Aman tidak dibenarkan masuk ke Jalan Tunku Ibrahim dan diarah terus ke Jalan Persiaran Sultan Abdul Hamid.
Beliau berkata, kenderaan dari arah Jalan Langgar tidak dibenarkan masuk di lorong tengah Pekan Rabu.
Beliau berkata, penutupan jalan dilakukan jam 3 petang hingga 6 pagi pada 30 Ogos mulai simpang Galeri Kawasaki Tunku Ibrahim ke simpang Jalan Tunku Ibrahim semasa Sambutan Ambang Merdeka 2019.
"Jadi, kenderaan dari arah Jalan Raja dilencong ke arah Pekan Melayu / Lebuhraya Darul Aman, kenderaan dari arah Lebuhraya Darul Aman tidak dibenarkan masuk ke Jalan Tunku Ibrahim dan diarah terus ke arah Jalan Persiaran Sultan Abdul Hamid dan kenderaan dari arah Jalan Langgar tidak dibenarkan masuk di lorong tengah Pekan Rabu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!