Lebuhraya Jerangau-Jabor akan dinaik taraf empat lorong

Pemandangan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 berhampiran Air Putih, Kemaman. - Foto Wikipedia
Pemandangan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 berhampiran Air Putih, Kemaman. - Foto Wikipedia
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebuhraya Jerangau-Jabor yang menghubungkan Terengganu dan Pahang akan dinaik taraf kepada empat lorong bagi menggalakkan pengguna menggunakan laluan itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Zulkifli Mohamad berkata, pihaknya kini sedang membida peruntukan bagi menaik taraf lebuh raya itu daripada bertaraf R3 kepada R5.

"Sejak Ketengah ditubuhkan 45 tahun lalu, nadi perhubungannya ialah Lebuhraya Jerangau-Jabor. Namun, hari ini ia seolah-olah telah 'mati' disebabkan pembukaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

"Jadi, pengurusan Ketengah kini berusaha untuk pulihkan kembali lebuh raya ini apabila kita membiada peruntukan untuk menaik taraf laluan itu.

"Ia bermaksud lebuh raya yang selama ini hanya dua lorong akan ditambah kepada empat lorong," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu menjadi alternatif kepada pengguna yang ingin ke Kuantan dan Kuala Lumpur.

Katanya, jarak perjalanan ke Kuala Lumpur kerana akan lebih pendek dengan melalui kawasan-kawasan baharu seperti Kampung Syukor, Pasir Raja dan seterusnya menyeberangi kawasan Pahang melalui Jerantut.

"Lebuh raya ini sebagai alternatif lain kepada jalan bertol sebagaimana janji kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol.

Artikel Berkaitan:

"Selain membantu menjimatkan kos pengguna, ia adalah satu usaha Ketengah untuk meringankan beban dan kos sara hidup warganya dan penduduk Terengganu serta Kelantan secara amnya," katanya.

Dalam pada itu, katanya, laluan itu juga akan dikenali sebagai Lebuhraya Mat Kilau berdasarkan catatan sejarah laluan yang digunakan pahlawan itu.

"Laluan ini juga dikenali sebagai lebuhraya Mat Kilau kerana ia merupakan laluan ketika pejuang itu berulang alik antara Pahang dan Terengganu," katanya.

Lebuhraya Jerangau -Jabor adalah lebuhraya Persekutuan sepanjang 179.63 kilometer dari bandar Kuala Terengganu, Terengganu ke Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, setelah LPT2 dibuka, kadar aliran trafik harian bagi lebuhraya terbabit telah merosot mengakibatkan banyak hasil ekonomi penduduk di pekan dan bandar di sepanjang laluan itu terjejas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!