Pondan didenda tak solat Jumaat

Mahkamah Syariah Terengganu
Mahkamah Syariah Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pondan dikenakan hukuman denda RM2,600 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana tidak solat Jumaat.

Bukan itu sahaja, tertuduh berusia 36 tahun dari Kuala Terengganu, di sini turut berdepan dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Syarie, Mohd Fakhruddin Yusof selepas tertuduh yang bekerja sebagai juru andam itu mengaku salah tidak solat Jumaat semasa ditangkap di sebuah rumah di Jalan Sultan Sulaiman, di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga selesai solat Jumaat, pada 26 April lalu.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, bertindak atas maklumat, pada 26 April lalu, bermula jam 12.30 tengah hari hingga selesai sembahyang Jumaat, satu pemantauan dilakukan pihak penguat kuasa syariah berhubung kesalahan tidak menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah rumah di daerah ini.

Sepanjang pemantauan, pegawai penguat kuasa syariah wanita mendapati penghuni rumah tersebut tidak keluar untuk menunaikan sembahyang Jumaat dan mendapati bahagian tingkap balkoni rumah terbuka.

Lebih kurang jam 2.04 petang, setelah selesai solat Jumaat, rumah tersebut diserbu untuk pemeriksaan oleh penguat kuasa lelaki.

Artikel Berkaitan:

Siasatan mendapati tertuduh merupakan 'mukallaf' dan tiada sebarang alasan diharuskan oleh hukum syarak untuk tidak menunaikan sembahyang Jumaat pada hari tersebut.

Tertuduh ditangkap dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu di mahkamah sama, empat lagi pondan berusia antara 30 hingga 45 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan sama.

Sejurus pengakuan tidak salah mereka direkodkan, mahkamah menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan masing-masing dibebaskan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Abdullah, manakala kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!