Lelaki kantoi rakam wanita dalam tandas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang peniaga ikan ditahan polis selepas disyaki merakam video dan gambar seorang perempuan di dalam tandas di sebuah kafe di Juru di sini Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, suspek berusia 33 tahun dikatakan sedang merakam video seorang pelajar yang sedang buang air kecil di tandas berkenaan namun perbuatannya disedari oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa yang berusia 21 tahun itu terkejut apabila melihat terdapat telefon bimbit di bahagian atas pembahagi tandas sebelum menjerit meminta bantuan.

Menurutnya, jeritan mangsa didengari oleh rakannya yang sedang menunggu untuk menggunakan tandas sebelum rakannya itu bertindak menghadang pintu tandas lelaki yang terletak bersebelahan.

"Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan pekerja kafe itu dan sebaik sahaja suspek keluar, mereka bertindak memeriksa telefon bimbit lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun, pemeriksaan tidak menemukan gambar atau video mangsa di dalam telefon bimbit itu namun mereka mendapati terdapat gambar mangsa wanita lain yang dirakam di dalam tandas itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati suspek turut menyimpan banyak video lucah di dalam telefon bimbitnya.

Katanya, suspek kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!