Bicara kes saman Global Royalti terhadap Rosmah 21-24 Oktober

Rosmah - Foto BERNAMA
Rosmah - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari mulai 21 Oktober untuk perbicaraan kes saman oleh Global Royalty Trading SAL terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menuntut beliau memulangkan 44 barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat pemborong barang kemas berpangkalan di Lubnan itu memberitahu media, mahkamah juga menetapkan 17 September untuk pengurusan kes bagi semua permohonan interlokutori yang difailkan Global Royalty selaku plaintif dan Rosmah sebagai defendan.

Beliau berkata demikian selepas kes itu disebut di hadapan Hakim Wong Chee Lin, di dalam kamar.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah pohon jaminan kos RM500,000

Pada 14 Februari lepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 barang kemas yang berada dalam miliknya sebelum dirampas polis.

Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun tahun lalu mendakwa pada 10 Februari 2018 mereka menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai hampir AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu mendakwa ketika serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat dalam Memorandum No. 926 bagi barang kemas berkenaan.

Syarikat itu berkata, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, Rosmah mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi menyatakan ia tidak lagi berada dalam milikannya kerana disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu Global Royalty memohon perintah perisytiharan mahkamah bahawa syarikat itu adalah pemilik sah ke atas barang kemas tersebut dan turut memohon pemilikan barangan kemas itu tidak dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas dan supaya barangan terbabit dipulangkan atau Rosmah perlu membayar harga barang kemas itu yang berjumlah AS$14.79 juta (RM59.83 juta). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!