Bersatu bukan Umno 2.0 atau 3.0: Syed Saddiq

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada yang pertama sempena Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.
Turut sama Timbalan Ketua Armada Bersatu Mohd Aizad Roslan (kiri) dan Penolong Setiausaha Armada Bersatu Ahmad Redzuan Mohamed Shafi.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).- Foto Bernama
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada yang pertama sempena Perhimpunan Agung Bersatu hari ini. Turut sama Timbalan Ketua Armada Bersatu Mohd Aizad Roslan (kiri) dan Penolong Setiausaha Armada Bersatu Ahmad Redzuan Mohamed Shafi. Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa Bersatu tidak akan menjadi Umno 2.0 mahupun Umno 3.0.

Berucap dalam Perhimpunan Agung Bersatu 2018, sekiranya Bersatu mahu menjadi Umno, beliau memberi amaran ‘langkah Armada dahulu’ sebelum menghalalkan perkara itu.

“Jika Bersatu mahu jadi Umno, langkah Armada dahulu! Saya tak akan benarkan budaya Umno meresap masuk ke dalam Bersatu.

“Armada juga ingin mengusulkan untuk kita lebih progresif daripada Umno,” katanya ketika berucap di hadapan perwakilan Armada di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), hari ini.

Sehubungan itu katanya, pemuda parti tidak boleh menggunakan amalan dan cara Umno untuk survival politik.

Katanya, faktor itu adalah membezakan Bersatu dengan Umno untuk selama-lamanya tidak kira menang atau tewas dalam PRU masa hadapan.

“Ramai kata Bersatu sudah jadi Umno 2.0. Umno 3.0. Banyak sangat Umno-style. Pertualang Umno ramai buat hijrah ke Bersatu. Dikatanya ubah kiblat. Ini yang kita tidak mahu ada dalam Bersatu.

“Bersatu bukan Umno. Selamanya Bersatu tidak akan jadi Umno. Bersatu tidak perlu ada sogok menyogok dalam politik. Bersatu tidak perlu jual negara untuk survival politik. Bersatu tidak perlu hipokrit dan mainkan isu perkauman untuk politik. Ini yang membezakan kita dan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Armada juga perlu membuang sikap ‘asal boleh’ kerana Bersatu mempunyai prinsip nilai dan tanggungjawab.

“Mungkin kita boleh ‘mengangkat keris’ dan mengaku kitalah ‘pejuang’ Melayu Islam, tambah undi kerana menyebarkan politik rasis dan perkauman, usung keranda bangsa lain hanya untuk menambah rasa takut dan prejudis masyarakat Melayu dan akhirnya ‘menang’ dalam pilihanraya.

“Boleh, kita boleh buat. Cara Umno boleh kita amal tetapi, itu bukan kita. Kita adalah Bersatu, bukan Umno. Biar mereka buat kerja-kerja kotor dalam politik. Kita lebih tinggi dari itu. Moral dan nilai yang kita bawa tidak boleh direndah-rendah dan dipijak-pijak hanya kerana mahu menang pilihanraya,” katanya.

Syed Saddiq berkata, andai Bersatu secara diam terima dan mengangkat cara yang diamalkan Umno, maka perjuangan parti dianggap gagal.

“Saat kita terima dan angkat cara Umno, walaupun secara diamdiam, maka kita sudah gagal. Gagal menjadi parti pejuang rakyat! Gagal menjadi parti bermaruah! Gagal menjadi parti insan! Kita akan gagal jika kita mula menjadi cerminan kepada Umno!,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!