Pelajar tingkatan empat maut kemalangan

Kemalangan membabitkan dua kereta dan dua motosikal yang mengorbankan Amirul Hakim.
Kemalangan membabitkan dua kereta dan dua motosikal yang mengorbankan Amirul Hakim.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal lain dan dua kereta di simpang tiga Jalan Long Yunus di sini hari ini.

Remaja terbabit, Amirul Hakim Ismail, 16, maut dalam kejadian jam 3.20 petang tadi manakala seorang lagi penunggang motosikal lelaki warga Myanmar cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang Amirul Hakim bergesel dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum terbabas dan berlanggar dengan kereta jenis Honda Jazz.

“Akibat mengalami kecederaan parah Amirul Hakim maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Warga Myanmar berusia 28 tahun yang menunggang motosikal jenis Suzuki tersebut cedera di kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum kejadian pelajar itu menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari Jalan Long Yunus menghala ke Jalan Taman Maju.

“Apabila tiba di hadapan sebuah kedai insurans di simpang tiga tersebut datang sebuah kenderaan Perodua Alza keluar dari simpang Tiga Jalan Mail Lundang membelok ke kanan jalan dan dipercayai bergesel dengan dua motosikal ditunggang dua lelaki.

“Akibatnya motosikal ditunggang remaja dan warga Myanmar tersebut terbabas ke kanan memasuki laluan bertentangan dan bergesel pula dengan kereta jenis Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pelajar itu maut di tempat kejadian manakala warga Myanmar mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!