KPM teliti status bangunan lama universiti awam

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melihat tapak kebakaran melibatkan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melihat tapak kebakaran melibatkan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan mempertingkatkan kelengkapan keselamatan kebakaran di bangunan lama universiti awam dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, seghubungan itu pihak kementerian akan meneliti status bangunan lama di universiti awam seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia bagi mempastikan ia memenuhi ciri keselamatan kebakaran terkini.

Kementerian juga akan meminta universiti yang mempunyai bangunan lama untuk membawa pelan keselamatan kebakaran kepada pihaknya supaya ia dapat pertingkatkan atau diperbaiki.

"Kita ikut pada keperluan, bukan ikut pada usianya. Boleh jadi bangunan lama, tetapi sudah ada spesifikasi kebakaran, tetapi ada juga yang lama belum ada spesifikasi itu.

"Mana yang tidak melengkapi keperluan kita akan masukkan dalam RMK-12 iaitu dari 2012 hingga 2025. Kita akan pastikan semua bangunan lama universiti akan dilengkapkan dengan spesifikasi terkini," katanya kepada pemberita selepas melawat insiden kebakaran di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur M Murugiah.

Ruang pejabat pensyarah di Fakulti Ekonomi UM musnah dalam kebakaran, kira-kira pukul 1.15 pagi Selasa. Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Dalam pada itu, Maszlee berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan akan diketahui pada Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 21 buah bilik pensyarah terlibat dalam kebakaran bangunan tiga tingkat itu manakala jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

Tambah Maszlee, dijangkakan sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi membaik pulih bangunan itu yang akan mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!