'Kepimpinan PKR perlu contohi Dr Mahathir'
KUALA LUMPUR - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) disaran mencontohi sikap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang komited menghadiri mesyuarat parti.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata walaupun pemimpin tertinggi itu sibuk dengan pelbagai program dan urusan negara, namun beliau tidak culas menghadiri mesyuarat dan program parti.
"Saya faham pemimpin sibuk tapi kalau kita lihat Perdana Menteri sendiri bila panggil mesyuarat parti semua hadir, jadi saya harap ia menjadi contoh, diikuti dan diteladani," katanya mengulas masih terdapat pemimpin parti PKR yang gagal menghadiri Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Ahad lalu.
Beliau ditemui pada majlis Penyerahan Cermin Mata Better Brighter Vision oleh Tenaga Nasional Berhad kepada 292 pelajar B40 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai Bangsar hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ada kelonggaran diberikan bagi pimpinan PKR yang tidak hadir disebabkan komitmen sebagai menteri.
"Kita boleh bagi kelonggaran, yang mana tidak hadir kita boleh berkomunikasi dengan pelbagai cara.
"Jika tak dapat hadir kita boleh beri maklumat secara bertulis, tetapi jika hadir perbincangan sesuatu perkara itu boleh dibuat secara mendalam," katanya.
Menurutnya, pihaknya menyerahkan isu ketidakhadiran pimpinan parti itu kepada biro politik parti untuk tindakan selanjutnya.
"Isu disiplin itu penting namun buat masa ini PKR ambil pendirian untuk fokus isu rakyat dan pastikan banyak isu dapat diselesaikan.
"PKR telah mengingatkan pimpinan untuk hadir mesyuarat. Ini platform terbaik untuk berbincang tentang dasar, hala tuju dan langkah-langkah yang perlu diambil di peringkat kerajaan negeri dan Pusat.
"Saya sarankan pimpinan hadir untuk bincang lebih lanjut," katanya.
Ahad lalu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri MPP pada hari sama kerana terlibat dengan program Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Selangor.
Dalam jawapan kepada media berhubung perkara itu, beliau meminta isu tersebut tidak diperbesarkan kerana faktor kesibukannya dalam hal ehwal parti dan pentadbiran kerajaan yang memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Bulan lepas, Zuraida turut gagal menghadirkan diri dalam MPP, malah kelibatnya tidak kelihatan semasa program Pemukiman PKR di Port Dickson.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!