Penampilan X70 Edisi Merdeka
Proton beri penghargaan kepada semua rakyat Malaysia
SEMAKIN mantap. Demikian gambaran awal yang dapat Sinar Turbo katakan tatkala menatap penampilan Proton X70 Edisi Merdeka (ME) bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62.
Pelancaran SUV keluaran terhad 'hasil air tangan' pembuat kereta tempatan, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) itu sememangnya tidak mengecewakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, secara mekanikal, Proton X70 EM mempunyai ciri-ciri yang sama pada varian Premium Proton X70.
Menariknya, Proton X70 Edisi Merdeka itu adalah bagi mencapai hasrat Proton untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia tahun ini.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan daripada pelanggan dan kerajaan Malaysia terhadap Proton. Pengeluaran model Proton X70 edisi khas itu adalah cara kami menunjukkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia.
“Proton menyasarkan untuk menjual unit tersebut pada bulan Merdeka. Syarikat kami mampu dapat berbuat demikian berdasarkan kepada permintaan semasa untuk Proton X70,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Dihasilkan seiring dengan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-62, model edisi terhad berkenaan diyakini mendapat sambutan baik memandangkan permintaan tinggi terhadap varian itu.
Didatangkan secara eksklusif pada model Proton X70 varian Premium, sebanyak 62 unit Proton X70 EM ditawarkan.
Paras harganya pula RM126,100 dengan dua warna pilihan iaitu putih (snow white) dan merah (flame red).
Rekaan eksklusif
Secara mekanikal, spesifikasi Proton X70 ME adalah sama dengan varian premium biasa Proton X70. Perbezaan hanya pada pakej bahagian luar serta tambahan kepada trim dalaman kereta tersebut bagi menampakkan kelainan dan eksklusif.
Rupa luaran menampilkan bahagian bumbung dan pilar-A yang dibaluti dengan cat berwarna hitam tampak garang.
Pada bahagian dalaman pula, Proton turut menggantikan alas kaki baharu. Pelapik but belakang dan lambang Edisi Merdeka bernombor khas menjadikan setiap penampilan unit model itu unik.
Manakala visor pintu juga telah ditambah, bersama-sama dengan scuff plate dan lambang Edisi Merdeka yang dipasang pintu bonet belakang.
Kemasan terbaik
Apa yang boleh Sinar Turbo katakan, dari aspek tawarannya, X70 mungkin kereta Proton yang paling bermutu pernah penulis perincikan.
Ternyata, keputusan bekerjasama dengan Geely merupakan satu tindakan yang sangat tepat demi memastikan Proton berada pada landasan sebenar bagi menghasilkan produk yang relevan mengikut cita rasa semasa.
Barangkali masih ada segolongan yang skeptikal dengan produk dari China. Pun demikian, sebaik meneliti beberapa perincian yang pernah penulis sendiri nilai dari aspek kemasan, pemilihan material, kualiti pemasangan, pastinya mampu menepis persepsi.
Perkara paling pasti, X70 boleh dikatakan terbaik berada dalam kelasnya, malah tidak keterlaluan dikatakan jika dibandingkan dengan jenama mainstream dari Jepun pun, X70 tidak kalah dari segi kualiti.
Bagaimanapun, semua varian ME masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.8 liter turbo TGDi empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 kuasa kuda (hp).
Torknya pula 285 meter Newton (Nm) dari 1,700 hingga 4,400 putaran per minit (rpm) bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan mod manual dan boleh memecut sifar hingga 100 kilometer per jam (km/j) pada masa 10.5 saat.
Tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Eco dan Sport. Setiap mod mempunyai gaya paparan meter yang tersendiri.
Untuk makluman, varian ME ialah varian Pacuan Dua Roda (2WD) yang dipacukan oleh roda hadapan dan mempunyai penggunaan bahan api bercampur 7.8 l/100km (bersamaan 12.8 km/l).
Sementara bagi model Pacuan Semua Roda (AWD) pula, melibatkan pertambahan berat sebanyak 100kg disebabkan gandar belakang yang ditampilkannya. Itu sekali gus akan mempengaruhi bacaan kadar penggunaan bahan apinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!