Paling susah jaga sensitiviti kaum: Dr Mahathir
SHAH ALAM - Kemerdekaan amat penting buat sesebuah negara kerana rakyat akan berpeluang memilih kerajaan mereka sendiri.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila merdeka seseorang itu boleh menentukan nasib mereka sendiri.
"Apabila merdeka, kita yang tadbir dan kita yang berusaha untuk memajukan negara kita.
"Berbeza sewaktu zaman penjajahan dahulu, kita tak ada suara sama sekali dalam pemerintahan negara," katanya ketika ditanya oleh sekumpulan anak muda menerusi satu rakaman video 'Apabila Dr Mahathir ditanya mengenai merdeka'.
Dr Mahathir memberitahu, sewaktu zaman penjajahan dahulu, semua perkara ditentukan oleh penjajah dan penjajah berusaha untuk kepentingan mereka dan bukan rakyat negara ini.
Katanya, sekarang rakyat sudah bebas dan boleh merayakan Hari Kebangsaan ini di seluruh negara.
"Rakyat kita sudah betul-betul merdeka tapi zaman sekarang, kita terpengaruh dengan maklumat yang kita dapat...Tapi sifat sebagai orang Malaysia itu masih ada, " katanya.
Ketika mengulas berhubung kesukaran beliau memikul tugas sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir memberitahu sudah tentu bahagian paling susah adalah berkaitan negara.
"Paling susah berkenaan negara kerana mempunyai rakyat berbilang kaum dan kita perlu berhati-hati apabila berkata sesuatu agar tidak kena sensitiviti kaum tertentu.
"Apa kita buat, apa kita kata, kena jaga sensitiviti semua kaum agar perasaan rasis tidak timbul, " katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan golongan remaja supaya peka dan tahu tentang keadaan negara terutamanya berkenaan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, golongan remaja perlu mainkan peranan untuk merapatkan hubungan antara kaum dan tidak menimbulkan kemarahan antara kaum.
Video berdurasi lebih 4 minit yang dirakamkan di sekitar Tasik Putrajaya itu memperlihatkan sekumpulan anak muda pelbagai bangsa berbual mesra bersama Dr Mahathir dan berbicara tentang erti merdeka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!