Gesa kerajaan bendung penjualan vape dalam talian
KUALA LUMPUR - Beberapa persatuan pengusaha vape menggesa kerajaan memperkenalkan peraturan bagi membendung penjualan rokok elektronik kepada mereka yang belum dewasa secara atas talian.
Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, pihaknya memahami ketegasan kementerian dalam menangani isu tersebut dalam kalangan golongan bawah umur.
Begitupun, mereka kesal kerana tindakan diambil terhadap pemilik premis kekal sedangkan penguatkuasaan lebih ketat perlu dikenakan terhadap peniaga dalam talian.
“Ini kerana mereka tidak mengambil langkah untuk membuat pengesahan sama ada pembelian secara atas talian dibuat oleh mereka yang dewasa atau golongan bawah umur.
“Penggunaan vape dalam kalangan orang bukan dewasa dapat dibendung sekiranya peraturan untuk kaedah pengesahan umur dalam pembelian secara online diperkenalkan.
“Dari pihak kami, sekiranya ahli didapati menjual produk kepada mereka yang belum dewasa, keahlian mereka akan dilucutkan malah kami menyokong tindakan penguatkuasaan diambil terhadap peniaga tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini petang tadi yang turut dihadiri Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif (MEVTA), Rizani Zakaria dan wakil 16 Persatuan Pengusaha Vape Negeri yang mewakili suara hampir 5,000 pengusaha.
Menurutnya, sidang media itu dibuat susulan serbuan Kementerian Kesihatan minggu lalu terhadap 78 premis menjual rokok elektronik di seluruh negara selepas dikesan menjual cecair yang mengandungi bahan kimia nikotin kepada pelajar sekolah.
Katanya lagi, pengusaha vape meminta kerajaan menerima rokok elektronik itu merupakan salah satu inisiatif untuk berhenti merokok.
“Dari tahun 2010, dah ramai orang berjaya berhenti merokok selepas beralih ke vape. Jangan kerana segelintir individu buat salah, kita salahkan satu industri.
“Yang kata ada kematian akibat vape, kes itu berlaku di luar negara tapi di Malaysia tidak pernah berlaku kes sebegitu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden MEVTA, Rizani Zakaria berkata vape sudah bertapak di Malaysia sejak lapan tahun lepas namun tiada lagi isu berkaitan masalah kesihatan melibatkan penggunanya.
“Cuma kita perlu tegaskan dari aspek kawalan jualan dan sebagainya. Kita boleh bincang dengan kerajaan kerana kita ada penyelesaian, kita boleh beri jalan kepada kerajaan,” katanya.
Dalam serbuan dilakukan kementerian baru-baru ini, sebanyak 66,988 botol cecair rokok elektronik yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta dirampas.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan penguatkuasaan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi kementerian itu adalah susulan isu tular pelajar menghisap rokok elektronik atau vape.
ARTIKEL BERKAITAN: Cecair rokok elektronik bernilai RM1.4 juta dirampas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!