Dilantik Naib Presiden, ini misi Rafizi
Beliau yang sebelum tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR berkata, misinya untuk penggal ini adalah menguatkan rangkaian ekonomi parti dan maklumat akar umbi.
“Terima kasih atas ucapan-ucapan yang dihantar di WhatsApp mengenai pelantikan sebagai Naib Presiden PKR.
“Tumpuan saya penggal ini adalah menguatkan rangkaian ekonomi dan maklumat akar umbi. Insya-ALLAH saya cuba jawab sebanyak mungkin mesej-mesej,” tulisnya di Twitternya hari ini.
Menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter yang bertanyakan lantikannya dibuat selepas pengunduran Nurul Izzah Anwar, Rafizi berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak perlu letak jawatan untuk membolehkan dirinya dilantik sebagai Naib Presiden.
“Naib Presiden yangg dipilih ada empat, yang dilantik ada tiga. Jadi Nurul Izzah tidak perlu letak jawatan untuk saya dilantik. Memang di dalam Perlembagaan.
“Sebab kenapa beliau mengambil keputusan, telah diulas dan dilaporkan secara menyeluruh,” katanya.
Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sembilan individu menjawat jawatan tertinggi dalam parti secara lantikan.
Tiga individu iaitu Rafizi, Chang Lih Kang dan Ali Biju dilantik sebagai Naib Presiden manakala enal lagi dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat.
Pelantikan Rafizi bersama lapan individu itu bagaimanapun tidak disenangi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahukan lantikan itu diteliti semula oleh Presiden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!