Agong, Permaisuri Agong 'tawan' puncak Candi Borobudur

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memimpin tangan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berangkat melawat ke lokasi bersejarah iaitu Candi Borobudur di sini. - Foto BERNAMA

A
A
A

MAGELANG - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini ‘menawan’ puncak Candi Borobudur, yang merupakan monumen warisan terkenal di Jawa Tengah, Indonesia.

Dalam lawatan itu, Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendaki anak tangga menuju ke puncak candi bagi menikmati pemandangan dan menghayati keunikan seni bina monumen bersejarah itu.

Lawatan Seri Paduka berdua ke candi Buddha terbesar dunia itu adalah satu refleksi kecintaan terhadap kepelbagaian budaya, nilai estetika dan sejarah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riصayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama delegasi Malaysia ketika mengadakan lawatan ke Candi Borobudur di sini. - Foto BERNAMA

Berkeluasan 2,500km persegi, Candi Borobudur yang dibina pada abad kelapan tersenarai sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pasangan diraja itu meluangkan masa kira-kira satu jam di tapak warisan dunia itu dan berkesempatan beramah mesra dengan pelancong termasuk rakyat Malaysia.

Seri Paduka berdua diiringi Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan delegasi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke kompleks Harto Soehardjo di Kotagede bagi melihat seni pembuatan kraftangan yang dihasilkan daripada perak.

Atur cara lawatan Seri Paduka berdua yang padat hari ini diakhiri dengan menyaksikan persembahan kebudayaan ‘Sendratari Ramayana’ di Kompleks Taman Wisata di sini.

Seri Paduka berdua meluangkan masa lebih sejam menyaksikan pertunjukan epik Ramayana yang mengisahkan percintaan antara Dewi Shinta dan Rama, yang berlatarbelakangkan candi Hindu tercantik di dunia iaitu Candi Prambanan dan menggabungkan persembahan seni drama tarian dan muzik.

Seri Paduka berdua tiba di Yogyakarta hari ini sempena lawatan negara empat hari ke Indonesia sejak Isnin.

Pasangan diraja itu dijadual berangkat pulang ke Malaysia esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!