Fahami maksud Perdana Menteri: Muhyiddin
PUTRAJAYA - Cuba bersikap rasional untuk memahami konteks perkataan 'paria' yang diucapkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas isu Lynas Malaysia baru-baru ini, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yasin.
"Jangan bertindak melampau, saya rasa kita perlu rasional, dan kerana perkara tertentu, terus report polis.
"Takkan Perdana Menteri tidak tahu apa perkara yang dia cakap," katanya ketika mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh beberapa ahli PKR Kapar terhadap Dr Mahathir kerana menggunakan perkataan “paria” ketika mengulas isu Lynas.
Menurut laporan sebuah portal, dalam laporan V. Maneyvannan di Balai Polis Sungai Kapar, beliau membidas perdana menteri menggunakan perkataan itu yang didakwa mengguris hati masyarakat India.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, kilang pemprosesan nadir bumi Lynas tidak boleh dilayan seperti ‘paria’ dan digesa menghentikan operasi serta keluar dari Malaysia kerana ia akan merencatkan usaha menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.
Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan ke-62 peringkat kementeriannya di sini hari ini berpendapat perkara itu telah disalahtafsirkan.
"Jadi ini soal maksud konteks apa yang disebut dan bukan apa yang anda percaya kerana bila sebut paria jangan kita ingat paria itu merujuk kepada kaum India, ini tidak betul," katanya.
Muhyiddin juga ditanya mengenai Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof Philip Alston berhubung pendirian Malaysia bahawa kurang daripada 25,000 isi rumah di seluruh negara hidup dalam kemiskinan (atau 0.4 peratus) adalah tidak realistik.
Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata, kerajaan akan mengambil kognisi terhadap penemuan Alston bagi memastikan sama ada ia adalah pensampelan secara faktual atau rawak.
"Harus ada prinsip asas tertentu mengenai cara mengukur perkara seperti kemiskinan dan jika kita hanya memilih kawasan tertentu, lihat di sana sini dan kamu berkata seluruh negara menghadapi masalah ketika ada 30 juta orang di Malaysia, maka itu bukanlah cara yang betul untuk dilakukan," katanya.
Muhyiddin berkata Malaysia telah melaksanakan dan memulakan usaha untuk membasmi kemiskinan sejak Dasar Ekonomi Baru dimulakan semasa waktu Tun Razak Hussein.
"Saya fikir kita telah berjaya tetapi isu sekarang adalah pada peratusan, ia berdasarkan kepada rekod fakta," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!