Baik Cina, India, Jawa, inilah tempat kita
SAYA tidak ada sebarang formula bagi perpaduan sesama kita. Tidak juga saya mempunyai apa-apa petua khusus untuk mewujudkan muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk ini.
Saya bersangka baik dengan semua orang, tanpa mengira mereka Melayu, Cina, India, Punjabi, Serani, Kadazan, Murut, Jawa, Malbari, siapa sahaja. Hatta baik saya dengan pekerja Bangladesh yang memungut sampah di kawasan perumahan saya, atau dengan pasangan laki bini yang setiap hujung minggu melintasi lorong sambil menjerit: “Paper lama, paper lama!”
Orang politik tidak kira apa warna dan lambang mungkin ada kaedah yang lebih sistematik dan pelbagai teori yang kedengaran akademik untuk menjana perpaduan kaum. Mereka bercakap biasanya berdasarkan kajian dan fakta daripada pakar. Mereka bercakap sekian-sekian untuk memujuk orang bersatu dan berbaik macam adik-beradik. Tetapi, sudah sekian lama orang politik bercakap dan menjerit mengenai muhibah dan perpaduan, hubungan sesama kita tidak juga macam adik-beradik.
Saya ingat orang politik tidak ikhlas. Hari ini mereka kata muhibah, esok pada audiens berbeza mereka sindir dan ungkit pula puak yang satu lagi. Sebelah pagi mereka bercakap perihal perlunya Cina, Melayu, India bersatu. Sebelah petang, di pentas dan di hadapan khalayak berbeza mereka melaga-lagakan pula puak-puak yang tadi disuruh bersatu. Dulu, kini dan selamanya, orang politik selalu lidah biawak. Sebab itu sampai sekarang kita tidak boleh bersatu, tidak pernah sekata, hatta dalam kalangan sesama Melayu sendiri. Kita semakin berpecah.
Maka, jangan percaya sangat cakap dan teori-teori perpaduan kaum yang digahkan siang-malam oleh orang politik. Anggap sahajalah mereka biawak yang bercabang lidah. Kalau ikhlas hendakkan perpaduan kaum, lakukan sesama kita secara semula jadi, tanpa paksa-paksa, tanpa teori-teori tertentu. Perpaduan sebenar terletak di dalam hati, bukan di atas kertas.
Berbilang kaum
Sudah lebih 20 tahun saya menetap di kejiranan sekarang, tidak ada masalah walaupun kami berbilang kaum, multi agama, dan adat berbeza-beza.
Memang ada yang tidak kena, umpamanya jiran Cina membawa anjingnya berjalan waktu petang, dan dia membiarkan haiwan itu memancut di depan pagar rumah saya. Kalau saya nampak saya akan memanggil Cina tersebut, dan bercakap terus terang: “Jangan biarkan anjing awak kencing di pagar saya.” Biasanya kalau dia waras, dia akan menerima teguran saya dengan baik dan tidak akan mengulangi kesilapan serupa.
Jiran-jiran bukan Islam saya tidak pernah komplen atau berasa terganggu apabila sekali-sekala saya buat kenduri dan bertahlil di rumah. Maka saya pun tidak kisah jika sekali-sekala dia pun ‘dong-dong-ceng’ beritual cara kepercayaan mereka.
Kalau mengikut media sosial dan songeh orang politik, macam teruk sangat pecah belah kaum di tempat kita. Masing-masing digambarkan sebagai tidak ikhlas. Tetapi rata-rata, pada hemat saya, kita masih bersama. Memang ada seorang dua yang prejudis dan saling mencemburui, tetapi rata-rata kita masih macam dulu.
Dalam kehidupan hari-hari saya masih bercampur gaul dengan rakan-rakan berbilang kaum. Mereka menerima saya macam biasa, tidak ada yang mengugut hendak susahkan saya. Saya tidak berasa kekok sekiranya masuk restoran terserempak dengan kawan-kawan bukan Melayu. Kita boleh duduk semeja, makan bersama.
Malah, saya setuju bahawa makanan menjadi antara penyumbang perpaduan. Nasi lemak, lontong, roti canai, tose, dan banyak lagi telah menjadi makanan Malaysia. Saya sendiri tidak cerewet dengan pelbagai makanan tempatan kita. Jika tahap halalnya terjamin saya boleh makan yong tau fu, vadai, maruku, char kway teow.
Saya beli ikan di pasar Melayu, beli baju di kedai Cina. Tetapi jika harga lebih baik dan pilihan lebih banyak, saya tidak kisah membeli ikan di kedai Cina atau India. Jika hendak tempah baju saya ke kedai Melayu. Bila perlu ke doktor, saya ke klinik Melayu. Tetapi saya beli ubat di farmasi Cina. Bila kereta rosak, brek ‘tak makan’, tayar ‘tak ada bunga’, saya hantar ke bengkel Cina. Tetapi, untuk gunting rambut saya tetap ke kedai India. Maka saya tidak kisah India pegang dan pulas kepala saya.
Sejak dulu saya bersangka baik dan menghormati rakan-rakan bukan Melayu, tanpa dipaksa. Mereka pun menerima dan menghormati saya, tanpa pura-pura. Kalau cara saya ini tidak menyusahkan, mari sama-sama kita amalkan.
Selamat menyambut hari kemerdekaan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!