Kemahiran tadbir urus pemimpin memerintah jadi cabaran utama

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto: Bernama
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Rina Mohd Harun menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA — Selepas kejayaan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sayap Srikandi parti itu kini perlu melihat kepada kemahiran mentadbir urus sebagai pimpinan parti memerintah, sebagai cabaran paling utama yang perlu diharungi.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Harun berkata sebelum pilihan raya umum lalu, tumpuan pengurusan gerak kerja mereka ke arah memenangkan Pakatan Harapan (PH), tetapi cabaran Srikandi kini lebih berwarna.

“Katanya memahami pencak silat para birokrat yang telah puluhan tahun digenggam budaya tadbir kleptokrat merupakan cabaran getir yang dihadapi sejak Pakatan Harapan memerintah negara ini. Jika kita ingin melihat segala polisi dan dasar serta sistem pelaksanaan Manifesto Pakatan Harapan direalisasikan, maka kemahiran mentadbir urus wajib dikuasai segera.

“Para birokrat perlu dibudayakan dengan tadbir urus yang inovatif, kreatif dan progresif,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Tahunan sayap itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata cabaran yang tidak kurang lelahnya untuk mereka hadapi adalah membina budaya pengurusan organisasi yang penuh hikmah, hasanah dan amanah.

“Mana mungkin sebuah organisasi seperti Srikandi dapat berfungsi dan berkhidmat kepada para wanita Melayu di luar sana jika kita tidak menguruskan rumah kita dengan hikmah, hasanah dan amanah. Mana mungkin para wanita yang masih terintai-intai ruang untuk bersama kita berkhidmat sebagai Srikandi, akan yakin dengan pimpinan kita jika budaya pengurusan masih belum kemas,” katanya.

Rina berkata Srikandi turut memberi fokus kepada pembangunan usahawan wanita bertaraf dunia agar sumbangan golongan itu terhadap ekonomi negara akan lebih signifikan memandangkan 70 peratus graduan institusi pengajian tinggi terdiri daripada golongan wanita.

“Pemasaran online dan perkhidmatan pos ekspres yang semakin cekap dan mudah memungkinkan para usahawan wanita di kampung-kampung meningkatkan pendapatan dan meluaskan pasaran ke seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata Bersatu turut memain peranan dalam membangunkan orang Melayu supaya bahagian mereka dalam negara ini terpelihara dan kerana itu agenda bumiputera sejak sekian lama diberi penekanan kerana kepentingannya kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
Artikel Berkaitan:


“Namun itu bukanlah bermakna kita boleh merasa selesa. Keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan. Oleh yang demikian, keusahawanan dilihat sebagai salah satu penyelesaian tepat dalam memecah kepompong kemiskinan dan kemunduran,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!