Pameran lukisan Pekan Nanas tarikan kemerdekaan
PONTIAN - Pameran lukisan tentang kehidupan masyarakat Pekan Nanas yang dahulunya bergantung kepada aktiviti penanaman nanas mencuri tumpuan lebih-lebih ia diadakan menjelang Hari Kemerdekaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, seramai 200 pelukis terlibat dan ada antaranya menggunakan kertas nanas sejak awal tahun ini.
Menurutnya, pameran lukisan tersebut disifatkan mengimbas sejarah dan nostalgia Pekan Nanas yang pernah dikenali sebagai Lembah Nanas pada zaman kegemilangannya.
"Bukan sahaja dapat tonjolkan keistimewaan Pekan Nanas tetapi juga memberi landasan kepada pelukis muda meluahkan hasil karya mereka.
"Pekan kecil yang terletak di laluan Johor Bahru dan Pontian ini mempunyai keistimewaannya tersendiri," katanya ketika ditemui selepas perasmian Pameran Lukisan 'The Art Journey of Pekan Nanas' di Pekan Sentral hari ini.
Perasmian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Tung Siong, Pekan Nanas didiami masyarakat berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India pernah menjadi pusat pengeluaran nanas utama di negara ini.
Bukan sahaja menjadi kawasan pengeluar utama tetapi dilengkapi dengan pembinaan sebuah kilang nanas yang dirasmikan Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1964.
Sementara itu, Sheikh Umar berkata, pameran lukisan di Pekan Nanas merupakan salah satu cabang industri kreatif yang memberi peluang kepada belia meluahkan idea dan bakat mereka.
Katanya, kerajaan negeri komited membantu meningkatkan industri kreatif menerusi geran mikro usahawan yang akan dibuka permohonannya bulan depan.
"Geran mikro usahawan sebanyak RM1.5 juta akan membantu usahawan konvensional dan usahawan kreatif bagi meningkatkan perniagaan mereka.
"Saya harap usahawan di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk memohon geran mikro usahawan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!