Pelabuhan kedua siap dua tahun
Mohd Hatta (kanan) ketika meninjau bas Yayasan Bank Rakyat.
A
A
A
Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, pada peringkat ini, tapak berkeluasan hampir 80 hektar itu telahpun menerima kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Cadangan pembinaan ini telahpun diluluskan dan akan memulakan pembinaan dalam masa terdekat.
"Kedudukan tapaknya dikira sangat strategik kerana dekat dengan Jambatan Raja Permaisuri Bainun dan berhadapan dengan pelabuhan pertama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lumut Komer di EMV Hall, Seri Manjung, hari ini.
Menurutnya, pembinaan pelabuhan kedua yang berperanan sebagai pelabuhan pukal bersepadu itu dijangka dapat merancakkan lagi pembangunan industri eksport dan import bahan mentah.
"Peranannya sama seperti pelabuhan sedia ada, cumanya keupayaan di situ sudah mencapai tahap maksimum jadi dengan adanya pelabuhan kedua ini dapat membantu memenuhi keperluan itu.
"Apabila beroperasi kelak, pastinya dapat menarik lebih banyak pelabur dan nilai dagangan di sini akan bertambah," katanya.
Pelabuhan Lumut (Lumut Port) yang dikendalikan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd telah beroperasi sejak 1995 dan antara syarikat yang telah beroperasi di kawasan industri itu termasuklah Sapura Kencana, Impsa, Grade One, Malay-sino, Summit Minerals, Malaysian Phosphate Additives, Pangkor Oil, Sinn Hwat Heng, Pasir Gudang Edible Oil, Aalborg dan Petronas Dagangan Berhad.
Dalam perkembangan lain, Mohd Hatta yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan berkata, daerah Manjung akan menjadi tuan rumah bagi Konvensyen Usahawan Bumiputera, Januari depan.
Pihaknya kini bersama jabatan kerajaan perlu meneliti produk tempatan bersesuaian bagi program 'satu daerah, satu industri' yang bakal dilancarkan pada konvensyen itu.
"Program satu produk, satu industri ini pernah dibuat sebelum ini, cuma kali ini kita nak pastikan produk dipilih betul-betul boleh menaikkan industri kawasan ini."
"Contohnya untuk Lumut, boleh mengetengahkan hasil laut, ia bergantung kepada kajian dan penelitian yang dibuat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!