Salurkan cadangan Belanjawan 2020 melalui laman web
GEORGETOWN - Kementerian Kewangan meminta orang ramai untuk terus menyalurkan cadangan dan idea masing-masing, bagi penyediaan input Belanjawan 2020 dalam usaha Kerajaan menggubal satu belanjawan yang bersifatkan rakyat.
Timbalan Menterinya, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata pihaknya menerima banyak cadangan yang bernas daripada orang awam menerusi laman web khusus - belanjawan2020.treasury.gov.my, sejak ia dibuka pada 9 Ogos lepas.
Menurutnya, cadangan yang terima setakat ini bukan hanya tertumpu kepada kerajaan memberi pelbagai insentif dan pengurangan cukai, malah cadangan bagaimana kerajaan boleh mengembangkan ekonomi negara.
"Biasanya belanjawan ini bila orang cadang, mereka nak minta ditambahkan contohnya bantuan sara hidup, macam syarikat pula nak kerajaan mengurangkan cukai. Tapi kali ini kita juga mendapat pandangan-pandangan seumpama tindakan yang kerajaan boleh ambil yang tidak melibatkan kerajaan mengeluarkan wang, tetapi cadangan-cadangan tindakan yang boleh menyebabkan ekonomi kita bertambah baik.
"Tidak semestinya dengan Kerajaan memberi ataupun mengurangkan cukai, tapi cadangan-cadangan tindakan mungkin kerajaan boleh melakukan sesuatu, yang kemudiannya akan dapat memberikan manfaat ekonomi itu kepada rakyat. Saya ingat itu amat bermakna. Kita harap ini akan menjadi bajet rakyat sebenar sebab sumbangan dan saranan idea daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Penang Top Achivers 2019’, di sini malam tadi.
Selain itu, Amiruddin berkata, kerajaan turut menganjurkan Majlis Konsultasi Bajet, iaitu forum utama kumpulan fokus seperti pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan, untuk mendapatkan maklum balas mereka bagi penyediaan belanjawan itu.
Cadangan dan idea untuk Belanjawan 2020 boleh dihantarkan ke laman web khas; belanjawan2020.treasury.gov.my dan menggunakan tanda pagar #belanjawan2020 di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter mulai 9 Ogos hingga 11 Sept ini. Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Okt depan.
Sementara itu, Amirudin berharap penganjuran anugerah itu dapat diteruskan ke negeri-negeri lain, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada individu yang berjaya dalam bidang masing-masing.
"Kita dapat lihat tadi bagaimana personaliti ini sudah tentulah akan memberi satu semangat dan motivasi, kepada generasi baharu untuk terus memberikan sumbangan di dalam bidang ekonomi dan berjaya dalam bidang masing-masing.
“Saya harap apa yang telah dijalankan ini akan diteruskan di negeri-negeri yang lain. Semoga hasrat pihak penganjur untuk memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada mereka yang lain dalam masyarakat akan dapat tercapai," tambahnya.
Anugerah julung kali diadakan di negeri ini anjuran The Leaders Online itu, menampilkan 20 penerima anugerah yang terdiri daripada pelbagai kategori untuk mengiktiraf pencapaian tertinggi individu dan sumbangan mereka, terhadap ekonomi Malaysia khususnya di Pulau Pinang.
Antara penerima anugerah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Datuk Jaseni Maidinsa, yang menerima dua anugerah kategori Icon of The Year dan Industry Excellence In Public Service; Ketua Pegawai Eksekutif Berjayapak Sdn Bhd, Ooi Lay Pheng (Masterclass Woman Achiever of The Year); dan pengasas Habib Jewels Sdn Bhd, Allahyarham Datuk Habib Mohamed (Posthumous Award).- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!