'Sarapan percuma perlu telus'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Rosli
Gambar hiasan. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan sarapan percuma yang diumumkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru perlu dipastikan benar-benar telus.

Presiden Pertubuhan Masyarakat Melayu Perak (Harmonis), Datuk Rosli Yang Danian berkata, berdasarkan pelaksanaan beberapa program oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini, pasti akan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

Katanya, disebabkan itu, pelaksanaan sarapan percuma ini perlu penelitian dan kajian secara menyeluruh bagi mengelak sebarang kepincangan yang akhirnya gagal mencapai matlamat.

"Pada dasarnya kita menyambut baik usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini kerana ia secara langsung menambah baik program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada.

"Cuma kerajaan perlu pastikan pelaksanaan dibuat dengan betul dan telus agar hasrat murni kerajaan itu mencapai matlamat yang diinginkan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Kementerian Pendidikan yang akan melaksanakan sarapan percuma kepada semua pelajar mulai tahun 2020.

Menurut Rosli, program ini perlu dipantau dengan lebih ketat agar tidak berlaku ketirisan.

Katanya, jika tidak dipantau, ada pihak akan mengambil kesempatan meraih keuntungan sedangkan program tersebut disediakan secara percuma oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu syarikat yang dilantik mengendalikan program ini mahupun pengusaha kantin mengambil kesempatan sebab ini bukan perniagaan.

"Pastikan jika peruntukan RM3 bagi seorang pelajar, makanan yang disediakan mestilah sama dengan nilai tersebut. Jangan ada cuba buat untung," katanya.

Menurutnya, walaupun manfaat akan dinikmati oleh semua pelajar, namun keutamaan harus diberikan kepada golongan B40 agar mereka tidak tercicir.

Dalam pada itu, Rosli berharap agar program sarapan percuma itu tidak menjadi gimik politik yang akhirnya dilaksanakan separuh jalan.

Katanya, program berkenaan perlu dijalankan secara berterusan dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Mengulas perkara yang sama, beliau yakin kerajaan mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk dilaksanakan secara berterusan kerana program ini akan melibatkan perbelanjaan yang sangat besar yang melibatkan semua pelajar sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!