HP Inc x Rizman Ruzaini
GANDINGAN fesyen dan teknologi nampaknya berjalan seiring apabila HP Inc menjalin usaha sama dengan pereka fesyen terkenal tempatan, Rizman Ruzaini.
Kolaboratif hebat itu telah mengilhamkan komputer riba kemasan kulit pertama dunia, HP Spectre Folio.
Menurut Pengarah Urusan Malaysia HP Inc, Fayza Mohamed Amin, gandingan antara dua jenama besar itu menzahirkan penglibatan syarikat teknologi maklumat multinasional terkemuka dunia sebagai Rakan Komputer Riba Rasmi sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2019 yang berlangsung meriah minggu lalu.
Ujar Fayza lagi, HP Inc turut berusaha untuk mencipta produk yang memenuhi gaya kerja dan gaya hidup pelanggan, menyerlahkan minat mereka, mencipta dan melakukan sesuatu yang produktif.
“Kerjasama kami dengan KLFW dan Rizman Ruzaini mencerminkan cara mengadunkan seni reka, teknologi dan fesyen seiring sokongan terhadap kemajuan masa depan Malaysia.
“Kami teruja untuk melihat usaha pereka tempatan kami mentafsirkan semula industri fesyen tempatan,” katanya pada KLFW 2019 di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Fayza berkata, HP turut mencetus inspirasi untuk membawa HP Spectre X360 ke KLFW 2019 menerusi inovasi dengan bantuan tiga pereka tempatan, Afiq M, My Apparel Zoo dan Yadotsa.
“Para pereka menggunakan HP Spectre X360 yang menawarkan keunggulan seni reka, keselamatan terulung dan prestasi lebih baik dalam kerja kreatif masing-masing, sama ada untuk mengilhamkan ciptaan baharu, melakar rekaan (baharu) atau merancang pertunjukan fesyen masing-masing.
“HP juga berganding bahu dengan tiga pelukis ilustrasi fesyen yang membawa HP Spectre X360 ke KLFW dan membuat lakaran hadirin minggu fesyen, peristiwa di sebalik tabir dan trend di pentas tahun ini,” katanya.
Sementara itu, pemilik jenama Rizman Ruzaini, Rizman Nordin dan Ruzaini Wan Jamil menyifatkan usaha sama itu menjangkau sempadan fesyen dan teknologi.
“Kami sentiasa mencari cara baharu untuk mempelopori inovasi dan kerjasama kami dengan HP membolehkan kami berbuat demikian.
"Mengambil inspirasi reka bentuk daripada HP Spectre Folio yang mengagumkan, pengguna boleh menantikan sentuhan kulit, kemewahan dan keanggunan dalam koleksi busana kami yang akan datang,” kata Rizman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!