Banjir ragut tujuh nyawa ketika perlawanan bola sepak
RABAT - Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan maut semalam apabila air sungai melimpah dan membanjiri padang bola di sebuah kampung ketika perlawanan sedang berlangsung di selatan Maghribi, kata pihak berkuasa.
Mangsa termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dan enam lelaki warga emas yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di Kampung Tizert, wilayah Taroudant.
Menurut pihak berkuasa, penyelamat berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cedera akibat banjir dan masih mencari seorang lagi mangsa yang hilang.
Seorang penduduk memberitahu AFP, air sungai berkenaan melimpah dan menenggelamkan padang terbabit di mana satu perlawanan bola sepak amatur sedang berlangsung.
Saksi yang enggan dikenali berkata, lapan orang yang berlindung di bilik persalinan dihanyutkan banjir.
Terdahulu, perkhidmatan cuaca kebangsaan Maghribi memberi amaran risiko hujan ribut di beberapa wilayah.
Banjir sering berlaku di Maghribi, pada penghujung Julai, 15 maut dalam insiden tanah runtuh susulan banjir kilat di selatan Marrakesh. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!