VRinity sedia sambut pelancong di Johor

Antara ruangan permainan yang disediakan.
Antara ruangan permainan yang disediakan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Tahun Melawat Johor 2020 diserikan dengan pembukaan Pusat Kecemerlangan Realiti Maya (VR) - VRinity di Iskandar Puteri.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pusat berteknologi pertama di Malaysia itu memberi kelainan dan diyakini mampu menarik pengunjung.

"VRinity sudah tentu menjadi tarikan terbaharu di Johor untuk capai sasaran Tahun Melawat Johor 2020. Bukan sahaja kita ada banyak taman tema tapi juga taman tema yang boleh berikan kelainan berbanding taman tema lain.

"Setakat ini ada dua pusat ini di Korea dan yang ketiga ada di Johor, Malaysia. Tiada di tempat lain," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pusat Kecemerlangan Realiti Maya (VR) - VRinity di Medini Mall semalam.

Anak syarikat Iskandar Investment Berhad (IIB), Iskandar Innovations Sdn Bhd (IISB) dan syarikat dari Korea, KT Corporation bekerjasama melahirkan VRinity dengan pelaburan RM5 juta.

Menurut Jimmy, beliau yakin KT Corporation akan membawa lebih banyak teknologi maju ke Johor pada masa akan datang.

"Kita mahu bawakan sesuatu yang baharu bukan sekadar taman tema tapi teknologi. Saya yakin KT Corporation akan bawa masuk teknologi yang lebih maju dan luaskan lagi apa yang kita ada.

"Banyak lagi tahap kemajuan teknologi yang ada tapi apa yang penting kita mulakan langkah pertama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jimmy (kanan), Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) dan Park (kiri) mencuba sendiri salah satu permainan yang terdapat di VRinity.
Jimmy (kanan), Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) dan Park (kiri) mencuba sendiri salah satu permainan yang terdapat di VRinity.

Sementara itu, Naib Presiden KT Corporation, Jungho Park berkata, Malaysia dipilih kerana memiliki lebih banyak potensi dalam pelaburan teknologi.

"Pasaran di Malaysia ada lebih banyak potensi malah infrastruktur di Malaysia sesuai untuk projek ini. KT Corporation terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

"Kami pilih Johor kerana destinasinya yang strategik, menerima kemasukan banyak pelancong selain lokasinya dekat dengan Singapura.

"Di Johor banyak peluang pembangunan dan kami menemui rakan strategik yang sesuai iaitu IISB," katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan 40,000 pengunjung bagi tahun pertama pembukaan VRinity.

"Kita sasar 40,000 pengunjung untuk tahun pertama ini dan apa yang penting pusat ini membuka peluang pekerjaan baharu kepada warga tempatan.

"Semua pekerja tempatan di mana setakat ini kita sudah ambil 10 orang pekerja," katanya.

Ketua Bahagian Digital IIB, Nukman Abdul Rahman pula berkata, pihaknya telah bersedia menyambut pengunjung sempena Tahun Melawat Johor tidak lama lagi.

"Sempena Tahun Melawat Johor tahun depan, kita bersedia untuk kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan agensi pelancongan.

"Kita mahu pelancong yang datang ke Johor ini mendapat pengalaman yang pelbagai," katanya.

Katanya, perisian bagi lapan permainan di VRinity akan ditambah baik setiap enam bulan bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Antara permainan yang disediakan termasuklah Special Force VR Ace, Black Badge Signal, World War Toons, Tobot VR, Dynamic Theater, Taekwon V Reality dan VR Sports.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!