Bekas jurukamera RTM derita penyakit kronik
Asmara, 56, berkata beliau sedih kerana tidak dapat melawat kematian dua rakan seperjuangan Khalid Abdullah dan Ahmad Badri baru-baru ini.
Bapa empat anak termasuk seorang perempuan berusia antara 30 hingga 9 tahun yang menderita sakit darah tinggi, kencing manis, pendarahan dalam kepala sejak kemalangan dalam tugasan di Jengka Pahang pada 2002, kini disahkan turut mengalami kegagalan fungsi buah pinggang.
"Saya tidak dapat bergerak lama dan perlukan bantuan orang lain kerana sering sukar bernafas, kejang kaki dan mudah penat, mujurlah isteri Hasnah Rani, 52, berada bersama membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Rengas, di sini.
Asmara memulakan tugas di RTM sebagai juruteknik sebelum diserap ke bahagian TV dan menjadi jurukamera.
Beliau yang sangat mencintai tugas sebagai jurukamera turut melahirkan rasa sedih kerana terpaksa memohon bersara awal pada April 2017 akibat penyakit yang dideritainya.
Beliau yang ditemui Sinar Harian semalam turut mengucapkan terima kasih kepada timbalan Presiden Kawat Ahmad Shafri Husnaini Muhammad yang ditemani pengerusi biro kebajikan Kawat Zarina Abdullah menyampaikan bantuan kebajikan Kawat.
Sementara itu, Ahmad Syafri berkata Kawat sentiasa cakna dengan penderitaan yang ditanggung oleh ahli dan akan cuba memberikan bantuan sedaya mungkin.
Katanya bantuan yang diserahkan pada Asmara mungkin tidak seberapa, namun Kawat berharap agar ia dapat mengingatkan tentang tanggungjawab sosial pertubuhan itu terhadap ahlinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!