Lelaki samun rumah warga emas diburu polis

Keadaan rumah mangsa di Jalan Merlimau-Melaka. (Gambar kecil: Lakaran wajah suspek samun rumah warga emas di Merlimau melalui kaedah foto fit.)
Keadaan rumah mangsa di Jalan Merlimau-Melaka. (Gambar kecil: Lakaran wajah suspek samun rumah warga emas di Merlimau melalui kaedah foto fit.)
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM600 selepas dua lelaki tidak dikenali masuk ke rumahnya di Jalan Merlimau-Melaka, pagi semalam.

Suspek dikatakan mengugut menggunakan pisau sebelum melarikan wang tunai serta barangan milik mangsa.

Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika mangsa, Alijah Md Husin, 73, tinggal seorang diri di rumah.

Menurutnya, warga emas terbabit didatangi salah seorang suspek untuk minta air minuman, namun dia bertindak menutup pintu lantaran berasa takut dan curiga.

"Tetapi atas dasar kasihan, selang beberapa minit kemudian warga emas itu menghulurkan minuman melalui tingkap rumahnya.

"Ketika itu lelaki berkenaan bertindak memegang tangan mangsa dan menendang pintu rumah sehingga terbuka.

"Suspek berjaya masuk ke dalam rumah dan mengacukan sebilah pisau kepada pengadu sebelum melarikan barangan berupa beg duit, kad ATM, kad bantuan sara hidup dan wang tunai berjumlah kira-kira RM500," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Arshad berkata, mangsa hanya tinggal berseorangan selepas kematian suami kira-kira 10 tahun lalu manakala dua anaknya tinggal di rumah berlainan.

Menurutnya, suspek bersama seorang lagi rakan yang memandu kereta jenis Proton Wira dikatakan hanya berkeliaran di kawasan rumah sambil memperdaya mangsa dengan memberitahu kononnya mereka ingin memburu ayam denak.

"Polis meminta orang yang mempunyai maklumat agar dapat membantu siasatan dan lakaran wajah suspek melalui kaedah foto fit turut diedarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!