Kaki warga emas tersepit penutup longkang
MELAKA - Seorang lelaki warga emas terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit selepas kaki kirinya tersepit pada batu penutup longkang berhampiran sebuah pusat beli-belah di Kampung Bunga Paya Pantai di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa yang berusia 61 tahun dikatakan sedang berjalan di kawasan berkenaan sebelum kakinya terperosok di celah batu penutup longkang tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.47 pagi dan sepasukan anggota seramai enam orang termasuk pegawai terus ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba anggota bomba hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
"Pasukan bomba telah menggunakan peralatan hidraulik bersama gergaji bagi merenggangkan penutup batu berkenaan supaya dapat memberi ruang bagi mengeluarkan kaki mangsa.
"Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar untuk mendapatkan rawatan menggunakan ambulans sebuah hospital swasta berhampiran yang telah pun berada di lokasi kejadian sebelum kehadiran pasukan bomba," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!