Jangan kaitkan sentimen perkauman: KPN
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki tempatan kerana didakwa menipu seorang mangsa berkaitan hadiah loteri 6D Toto di Kota Sentosa, Sarawak.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan dibuat kelmarin susulan maklumat mangsa yang melihat kedua-dua suspek berada di Batu Kawa, Sarawak.
"Pada masa sama PDRM turut mengesan penularan beberapa klip video yang memaparkan kedua-dua suspek dikepung sekumpulan lelaki dengan ada yang bersenjatakan tukul serta parang.
"Video berkenaan telah dikongsi di media sosial dan rangkaian WhatsApp dengan pelbagai komen negatif yang telah membangkitkan sentimen perkauman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hamid berkata, secara amnya kumpulan terbabit telah bertindak di luar batasan terhadap seorang lelaki yang kononnya terlibat dalam kes penipuan tersebut.
Menurutnya, pada hakikatnya ini adalah kes jenayah melibatkan mangsa yang ditipu oleh dua suspek terbabit.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Tegasnya, siasatan selari akan turut dijalankan ke atas pihak lain yang terbabit jika terbukti mereka bertindak di luar batasan undang-undang atau cuba mengambil tindakan sendiri.
Tambahnya, pihaknya juga ingin mengulangi nasihat kepada masyarakat agar tidak berkongsi atau menyebarkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya selain tidak membuat komen berbaur perkauman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!