Lawatan Agong ke Indonesia perkukuh keakraban negara serumpun

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke tanahair selepas mengakhiri Lawatan Negara selama empat hari ke Indonesia di Pangkalan Tentera Udara Adisutjipto hari ini. - Footo Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke tanahair selepas mengakhiri Lawatan Negara selama empat hari ke Indonesia di Pangkalan Tentera Udara Adisutjipto hari ini. - Footo Bernama
A
A
A

YOGYAKARTA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan negara empat hari ke Indonesia pada Khamis, yang memperkukuhkan lagi keakraban dan keteguhan jalinan persahabatan kedua-dua negara serumpun.

Menerusi lawatan empat hari itu, Malaysia dan Indonesia komited untuk terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala, yang terjalin sejak lebih 62 tahun lepas, khususnya dalam sektor perdagangan ke tahap yang lebih komprehensif.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata dalam rangka lawatan itu, beberapa perbincangan diadakan bersama Al-Sultan Abdullah dan Presiden Indonesia Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, termasuk perihal kerjasama yang sedia terjalin antara syarikat minyak dan gas kedua-dua negara iaitu Petronas dan Pertamina.

Selain mempromosikan kelapa sawit, kedua-dua negara turut berbincang mengenai kerjasama untuk menyelesaikan isu-isu semasa khususnya penangkapan nelayan di perairan Malaysia dan Indonesia.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan puas hati terhadap lawatan ini serta menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Presiden Jokowi bersempena Hari Kemerdekaan Indonesia yang telah disambut pada 17 Ogos lepas, serta kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden pada 17 April,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ke Indonesia.

Al-Sultan Abdullah, yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta rombongan berangkat pulang ke Malaysia hari ini selepas mengadakan lawatan ke Jakarta dan Yoyakarta sempena lawatan negara ke republik itu.

Dalam pertemuan empat mata bersama Jokowi, Al-Sultan Abdullah turut dimaklumkan mengenai rancangan pemindahan ibu kota pentadbiran Indonesia daripada Jakarta ke Kalimantan Timur.

Penanaman pokok damar di pekarangan Istana Kepresidenan Bogor, yang menjadi venue pertemuan kedua-dua ketua utama negara itu, oleh Sultan Abdullah menjadi simbolik agar persahabatan kedua-dua negara terus subur dan utuh merentasi masa.

Artikel Berkaitan:

Lawatan negara ke Indonesia itu merupakan lawatan negara kedua Al-Sultan Abdullah selepas Brunei, sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Dalam rangka lawatan yang bermula di Jakarta dan jadual padat, Yang di-Pertuan Agong antara lain berkenan menziarahi Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara yang berkapasiti lebih 200,000 jemaah.

Tunku Azizah, yang mempunyai atur cara berasingan berangkat ke beberapa tempat termasuk Pameran ‘World Ikat Textiles 2019-Ikat: Ties That Bind’ di Muzium Tekstil Jakarta yang menghimpunkan hampir 100 koleksi tenun dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan Thailand, menyifatkan hubungan antara negara-negara ASEAN itu boleh diumpamakan seperti ‘benang yang ditenun menjadi songket’, yang mencerminkan simbolik penyatuan negara-negara serantau.

Semasa lawatan di Yogyakarta, Seri Paduka mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta Sri Sultan Hamengku Buwono X, yang juga Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta.

Kunjungan Al-Sultan Abdullah ke Keraton Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat atau dikenali Kraton Jogja mempunyai signifikan tersendiri kerana sebelum ini Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pernah mengunjungi Kesultanan Yogyakarta pada 1981 semasa pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Keakraban Seri Paduka dan Sri Sultan yang jelas terpamer mencerminkan hubungan baik yang akan memperkukuhkan lagi institusi Kesultanan Islam di Nusantara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berangkat melawat Candi Borobudur, satu daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), menzahirkan satu refleksi kecintaan terhadap kepelbagaian budaya, nilai estetika dan sejarah.

Indonesia adalah negara jiran paling dekat dan terpenting untuk Malaysia dan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala direkodkan adalah RM72.02 bilion, meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion pada 2017. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!