Sinergi penjawat awam, kerajaan terus kukuh: KSN
PUTRAJAYA - Sinergi antara penjawat awam dan kerajaan baharu yang kini diterajui Pakatan Harapan terus kukuh dengan penekanan prinsip 'Saya Yang Menjalankan Amanah' di bawah payung setia Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar.
"Ikatan antara penjawat awam dan kerajaan baharu adalah penting bagi memastikan dasar dan perancangan negara dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya dalam perutusannya sempena genap setahun beliau sebagai KSN hari ini.
Ismail berkata beliau sentiasa menekankan kepada penjawat awam supaya ‘melakukan perkara yang betul pada kali pertama’ dalam melaksanakan tugas dan aspek integriti diberi keutamaan dalam memastikan sesuatu projek itu berjaya dengan efisien dan kos efektif.
Dalam tempoh setahun, katanya, Malaysia semakin mengorak langkah di persada antarabangsa untuk menjadi salah satu daripada negara membangun.
Menurutnya, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun kedua 2019 menunjukkan pertumbuhan pada kadar 4.9 peratus.
Ismail berkata pelaksanaan dan perancangan projek pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12 akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan negara terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Pengenalan program seperti Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pula diharap dapat terus memacu aktiviti ekonomi domestik negara, katanya.
"Dengan pencapaian ini, pastinya gelaran 'Tiger of Asia' akan menjadi milik Malaysia,” kata beliau.
Kemakmuran Bersama juga, kata beliau dapat dilaksanakan dengan jayanya demi memastikan kekayaan yang dihasilkan negara dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas dan kaum.
"Harapan saya, agar semua rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada penjawat awam untuk menjalankan tugas dengan cemerlang. Kepada penjawat awam, laksanakanlah amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, adil dan saksama," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!