Pemandu lumba wanita maut ketika cuba pecah rekod
LOS ANGELES - Pemandu kereta lumba Amerika Syarikat (AS), Jessi Combs, yang digelar ‘wanita terpantas empat roda’ terbunuh dalam cubaan memecahkan rekodnya sendiri, kelmarin.
Menerusi laporan AFP, polis berkata kejadian tersebut berlaku di Alvord Desert dan Combs disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Combs, 39, memperoleh gelaran ‘wanita terpantas’ pada 2013 apabila berjaya mencapai kelajuan 641 kilometer sejam.
“Punca kemalangan belum diketahui dan sedang disiasat,” kata kenyataan Pejabat Sherif Harney County.
Combs, yang muncul dalam pelbagai rancangan televisyen AS, sebelum ini cuba memecahkan rekodnya pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu, menurut industri media, Combs berjaya melepasi kelajuan sebelumnya untuk mencapai 777 kilometer sejam, tetapi disebabkan masalah mekanikal bermaksud rekod itu tidak dapat disahkan secara rasmi.
Dia dijangka melakukan catatan lebih baik kelmarin.
Combs yang juga seorang mekanik, mencabar dirinya mengalahkan rekod pelagak ngeri AS, Kitty O’Neil sebagai ‘wanita terpantas dunia’ dicatat pada 1976 menggunakan kenderaan roda tiga di Alvord Desert pada kelajuan 824 kilometer sejam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!