Pemuda Pas tubuh Skuad ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’
MARANG - Skuad ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang ditubuhkan bagi mensasarkan zon bebas maksiat khususnya di kawasan pesisir pantai di DUN berkenaan.
Ketua Pemuda Pas Kawasan Marang, Yusuf Abdul Hadi berkata, orang ramai yang berkunjung ke kawasan peranginan kini tidak perlu bimbang dengan senario negatif di kawasan tumpuan awam.
“Kami di peringkat pemuda memandang serius gejala yang tidak sihat yang melibatkan anak muda apatah lagi di tempat awam terutama di kawasan pantai.
“Buat permulaan, skuad ini dianggotai seramai 15 orang bertanggungjawab memantau perilaku yang tidak sepatutnya di sepanjang pantai Marang,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Anak kepada Presiden Pas itu berkata, sasaran operasi adalah bertumpu di Pantai Pulau Kekabu dan Pantai Kelulut untuk operasi pencegahan.
Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan tuntutan Islam yang dinyatakan dalam al -Quran.
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, serta beriman kepada ALLAH.
"Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antaranya ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang fasik,” katanya mengungkap ayat 110 dari surah Ali-Imran.
Katanya lagi, kemungkaran adalah perkara yang mampu diputuskan oleh akal manusia tentang keburukan dan melihat perbuatan itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau umat Islam tidak memainkan peranan (amar makruf nahi mungkar) maka keimanannya boleh dipersoalkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!