187 koperasi sekolah catat nilai aset RM24.8 juta

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 187 koperasi sekolah di Pahang mempunyai nilai aset semasa berjumlah RM24.8 juta sehingga tahun lalu.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Ibrahim Kasah berkata, jumlah aset itu merangkumi bangunan dan perniagaan dimiliki koperasi berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya merekodkan sejumlah 104,079 guru, kakitangan sekolah dan pelajar menjadi ahli koperasi sekolah masing-masing sehingga Disember lalu.

"Berdasarkan rekod yang kami ada, jumlah koperasi terbanyak didaftarkan di Pahang ialah di Kuantan dengan 63 koperasi, Raub/Lipis (26), Temerloh (21), Muadzam Shah (19), Jerantut (17), Jengka/Maran (16), Bentong (15) dan Bera (10).

"Nilai modal atau syer semua koperasi itu mencecah RM1.6 juta, manakala jumlah untung rugi semasa pula sebanyak RM2.5 juta.

"SKM menyedari masih ada sekolah di Pahang belum mempunyai koperasi dan kita sedang melakukan program turun padang bagi memberi penerangan mengenai kepentingan (penubuhan) koperasi bagi memulakan amalan keusahawanan sejak di bangku sekolah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ibrahim berkata, kebanyakan koperasi sekolah di negeri ini juga mempunyai kemampuan dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi dan SKM sedang mencari jalan untuk membantu mengkomersialkan produk berkenaan melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan pemain industri yang berminat.

"Ada antara produk hasil inovasi koperasi sekolah mempunyai nilai komersial dan boleh dipasarkan dengan lebih luas. Cuma kita (SKM) mempunyai kekangan dari segi dana untuk menghasilkan produk itu secara besar-besaran.

Artikel Berkaitan:

"Paling penting kena paten terlebih dahulu produk dihasilkan. SKM sedang menjalinkan kerjasama dengan JPNP bagi memastikan setiap produk inovasi pelajar yang dikomersialkan kelak dapat memberi pulangan kepada koperasi (sekolah) terbabit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!