Dua wanita tak mengaku miliki wang curi

Tertuduh, Fairuz Mazidah mengaku tidak bersalah memiliki wang curi sebanyak RM2,500 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. (Kanan: Tertuduh, Salina mengaku tidak bersalah memiliki wang curi sebanyak RM6,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.)
Tertuduh, Fairuz Mazidah mengaku tidak bersalah memiliki wang curi sebanyak RM2,500 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. (Kanan: Tertuduh, Salina mengaku tidak bersalah memiliki wang curi sebanyak RM6,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memiliki wang curi, tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Salina Mohd Sauradi, 54 dan Fairuz Mazidah Selamat, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Salina didakwa menerima harta curi iaitu wang sebanyak RM6,000 milik Tuan Zalmawati Tuan Talib, 42, yang telah dimasukkan ke dalam akaun CIMB miliknya di kaunter CIMB Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.20 petang 21 Julai 2016.

Manakala Fairuz Mazidah pula didakwa menerima harta curi iaitu wang sebanyak RM2,500 milik Nur Izzati Nawang, 25, yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di mesin CDM Maybank cawangan Pasaraya Giant Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 malam 30 September 2016.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh dari Johor Bahru itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya menetapkan 19 September depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mahkamah turut membenarkan masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM2,800 dan RM3,000 bersama seorang penjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!