5.6 tan daun ketum dirampas
ALOR SETAR - Sebanyak 5.6 tan daun ketum dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Briged Utara dalam Op Wawasan Kedah/Perlis sepanjang penugasan menjaga sempadan Malaysia-Thailand bermula 1 hingga 27 Ogos lalu.
Pegawai Pemerintahnya, Supritendan Rosman Kasman berkata, turut dirampas bersama ketum itu ialah dua buah kenderaan dan empat buah motosikal dengan nilai keseluruhan RM900,950.
"Dalam tempoh 27 hari ini, PGA Batalion 3 Briged Utara berjaya merekodkan 24 kes tangkapan dan rampasan pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Racun sepanjang menjaga sempadan Malaysia-Thailand di bawah Op Wawasan Kedah/Perlis.
"Daripada jumlah 24 kes tersebut, dua lelaki warganegara Thailand ditangkap di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala sebanyak 2 buah kenderaan dan 4 buah motosikal berjaya dirampas melibatkan penyeludupan daun ketum.
"Hasil rampasan ketum dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 5.6 tan bersamaan 5,653kg dengan nilai rampasan termasuk kenderaan adalah hampir RM900,950," katanya dalam satu kenyataan.
Rosman berkata, dedikasi yang tinggi ditunjukkan oleh semua anggotanya berjaya mematahkan usaha untuk menyeludup barang terlarang tersebut.
"Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis batalion 3 yang telah menunjukkan dedikasi yang membanggakan. Kami berharap prestasi seperti ini dapat dikekalkan pada penugasan akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!