Tujuh restoran jijik diarah tutup
SHAH ALAM - Menjijikkan! Itu keadaan dapur tujuh restoran yang diperiksa dalam Ops Premis Bersih yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor baru-baru ini.
Selain kotor, beberapa urungan tikus dan lipas juga dikesan di ruangan dapur serta peti sejuk yang tidak langsung dibersihkan selain terdapat kesan kotoran yang meloyakan.
Tujuh restoran itu antara 127 premis kedai makanan yang diperiksa dalam operasi dijalankan Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak serta polis.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, dalam operasi yang dijalankan itu, sebanyak tujuh restoran diarah tutup kerana beroperasi dalam keadaan kotor.
"Antara restoran yang diambil tindakan melibatkan kawasan di daerah Gombak, khasnya di kawasan Selayang dan Kepong yang mana penutupan diambil di bawah Akta Makanan 1983.
"Selain kotor, restoran-restoran ini juga terdapat infestasi serta kehadiran tikus dan lipas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Khalid berkata, lima premis yang diarah ditutup kerana terdapat urungan tikus dan lipas dalam premis berkenaan, manakala dua lagi disebabkan markah kebersihan semasa pemeriksaan kurang daripada 65 peratus.
Menurutnya, kesemua premis yang diarah tutup itu diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983.
"Bagaimanapun, sekiranya pengusaha telah mematuhi kesemua arahan pembersihan mereka boleh memohon kepada Pegawai Diberi Kuasa untuk memeriksa semula premis sebelum dibenarkan kembali beroperasi," katanya.
Beliau berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 159 notis melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan kepada pemilik premis dan juga pekerja premis dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM101,450.
Katanya, seramai 108 pengendali makanan yang bekerja di restoran dan kedai makanan berkenaan dikesan tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan dan 129 orang tidak mendapatkan suntikan tifoid.
"Kesemua mereka yang didapati melakukan kesalahan ini diambil tindakan selanjutnya.
"Ops Premis Bersih ini akan sentiasa diadakan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi peruntukan undang-undang dan makanan yang disediakan adalah selamat untuk dimakan seterusnya mengelakkan kejadian keracunan kepada masyarakat," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui ada premis makanan kotor atau terdapat produk makanan yang rosak dijual di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!