Intervensi kurang beban guru diumum bulan depan
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggariskan sembilan intervensi dalam usaha untuk mengurangkan beban tugas guru yang akan diumumkan dalam Perutusan Tahun Baharu pada 14 Januari ini.
Menterinya Dr Maszlee Malik berkata intervensi itu dirangka hasil 16 sesi libat urus antara Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan KPM sejak Julai lalu.
Dalam sesi libat urus berkenaan, pihak NUTP yang mempunyai 230,000 keanggotaan dari seluruh negara telah memberikan lebih 70 cadangan bagi tujuan itu.
"Pihak KPM menyedari tugas-tugas guru kini kian mencabar. Tugas utama guru adalah mendidik anak bangsa tetapi kini ditambah pula dengan tugas-tugas perkeranian yang bukannya semua relevan dan akibatnya membebankan guru-guru untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
"Sejak hari pertama saya masuk KPM, salah satu fokus utama saya adalah untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan," katanya dalam sidang media ketika majlis Perhimpunan Khas NUTP dan Amanat Tahun Baharu Bersama Menteri Pendidikan Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan intervensi itu akan dilaksanakan Januari ini oleh pihak kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah serta dibahagikan kepada lima inisiatif.
"Masa akan datang kita akan adakan libat urus yang lebih banyak dengan NUTP dan persatuan guru lain demi mendengar suara akar umbi, dan inilah pendekatan baru kita iaitu bottom up dan bukan lagi top down dalam membuat dasar.
"Kita ingin tekankan walau apa pun keputusan dan dasar yang akan kita laksanakan KPM, kita sentiasa lakukan libat urus dengan NUTP dan pihak pemegang taruh lain bagi memastikan ia lahir dari guru-guru sendiri," katanya.
Hadir sama, Presiden NUTP, Kamarozaman Abdul Razak dan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.
Media sebelum ini melaporkan pendidik di seluruh negara akan dikecualikan daripada beban tugas perkeranian, selewat-lewatnya pada Januari depan.
Pada Ogos lalu, kementerian melaporkan sebanyak 4.4 peratus atau 2,123 daripada 48,258 guru dikenal pasti mengalami stres tahap sederhana tinggi tahun lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!