Nafi kos sebenar terowong dasar laut mencecah RM20 bilion
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan bahawa kos sebenar projek terowong dasar laut mencecah RM20 bilion sebaliknya kos bagi projek mega tersebut hanya bernilai RM6.34 bilion.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kos itu turut melibatkan projek tiga jalan utama iaitu Tanjung Bungah- Teluk Bahang (pakej pertama), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Bandar Baru Farlim, Air Itam (pakej dua) dan Jalan Pankor-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (pakej ketiga).
Menurutnya, kos sebenar bagi projek tersebut tidak pernah berubah sejak ia diumumkan beberapa tahun lalu.
"Setiap pakej ada kosnya bagaimanapun jumlah kos tidak pernah berubah. Dari mula kita mengumumkan projek ini sehingga perjanjian induk (master agreement) ditandatangani pada 2 Ogos lalu, jumlah kos bagi semua pakej masih kekal sebagai RM6.34 bilion dengan projek terowong adalah pakej keempat.
"Tidak pernah kita sebut kos bagi keempat-empat pakej ini lain dari yang kita sebut sebelum ini.
"Selain itu, nilai dan saiz tanah adalah 44.5 hektar disediakan di Tanjung Pinang yang diberi nilai RM1,300 setiap satu kaki persegi. Dalam mesyuarat, kenyataan media dan dalam perjanjian pun, semua nilai ini tidak pernah berubah," katanya pada sidang media tadi.
Kon Yeow berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa persoalan yang dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai projek mega di negeri ini termasuk kos sebenar projek terowong dasar laut.
Ka Siong membuat pertanyaan itu pada posting di Facebooknya bahawa adakah kos sebenar projek tersebut mencecah RM20 bilion seperti yang dikiranya pada tahun lalu.
Kon Yeow berkata, semua pihak telah dimaklumkan bahawa kos projek terowong dasar laut termasuk tiga buah jalan utama hanya bernilai RM6.34 bilion.
"Semua orang tahu kos projek melibatkan empat pakej ini bernilai RM6.34 bilion, hanya Ka Siong saja kata RM20 bilion.
"Saya tak pasti dari mana dia dapat maklumat itu. Isu ini juga pernah dibangkitkan bekas Perdana Menteri. Mungkin mereka kutip maklumat-maklumat ini dari langit.
"Saya harap dengan penjelasan saya ini, ia dapat menjawab kesemua persoalan mengenai kos projek ini. Selain itu, hubungan kerajaan negeri dengan syarikat yang dilantik adalah baik, mengikut perjanjian," katanya.
Tambahnya, walaupun perjanjian sudah ditandatangani, ia tidak cukup untuk syarikat kontraktor memulakan kerja.
"Kita perlu tandatangani perjanjian pembinaan bagi setiap pakej sebelum kerja dimulakan. Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd telah mendapat kelulusan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan tempohnya akan tamat pada November ini.
"Oleh demikian, kita perlu memulakan kerja selewat-lewatnya 31 Oktober. Tambahan pula, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) juga telah diperolehi, maka kita perlu tandatangani perjanjian pembinaan yang dijangka pada September ini," katanya.
Beliau berkata, projek itu akan dimulakan dengan pakej kedua selepas perjanjian pembinaan ditandatangani.
Projek terowong sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!