Hampir separuh pekerja akan terjejas disebabkan automasi
KUALA LUMPUR - Dianggarkan hampir separuh daripada pekerja semasa akan terjejas dengan perpindahan tenaga kerja manusia kepada automasi, robot dan kecerdasan buatan dalam masa 20 tahun lagi.
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, kira-kira 11 hingga 54 peratus pekerjaan semasa akan terjejas kerana perpindahan tenaga kerja itu seperti yang diharapkan kebanyakan majikan.
"Hampir 50 peratus syarikat mengharapkan automasi membawa kepada pengurangan tenaga kerja sepenuh masa menjelang 2022.
"Mereka bercadang untuk melibatkan pekerja dengan cara yang lebih fleksibel, menggunakan kakitangan kawalan jauh dan operasi desentralisasi," katanya ketika menyertai perbincangan panel mengenai Tenaga Kerja Untuk Masa Depan pada Forum Ekonomi Negara yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata, 80 peratus daripada pekerjaan yang berisiko tinggi dipindahkan kepada teknologi adalah kumpulan separa berkemahiran.
"Malaysia dan rantau Asean terdedah kepada gangguan teknologi berikutan kerja-kerja perkilangan dan perkhidmatan buruh yang tinggi.
"Kerja berisiko ini akan digantikan dengan automasi dan teknologi digital," katanya.
Justeru katanya, Malaysia perlu meningkatkan rantaian nilai kemahiran tinggi yang cukup fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan idea, inovasi dan teknologi baharu.
"Terdapat keperluan sangat mendesak untuk memastikan ada pekerja berkemahiran tinggi yang mampu memacu inovasi dan menyokong masa depan ekonomi kita.
"Sehingga suku pertama (Q1) 2019, hanya 27.8 peratus tenaga kerja Malaysia (atau 4.17 juta orang) dianggap sangat mahir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!