Paria tidak tuju kepada sesiapa: PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, perkataan paria yang disebutnya semasa mengulas isu Lynas Corporation pada minggu lalu tidak merujuk kepada sesiapa.
Beliau menegaskan, perkataan itu tidak merujuk kepada golongan India sebagaimana yang didakwa golongan berkenaan.
"Saya tidak merujuk kepada sesiapa. Siapa yang saya rujuk?," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai satu laporan polis yang dibuat oleh beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kapar yang mendakwa beliau menggunakan perkataan paria ketika mengulas isu Lynas Corporation.
Dalam laporan dibuat di Balai Polis Sungai Kapar, ahli PKR Kapar, V Maneyvannan membidas Dr Mahathir yang menggunakan perkataan paria yang didakwa mengguris hati masyarakat India.
Malah, Maneyvannan bersama tiga individu lain turut menuntut Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menggesa Ketua Polis Negara serta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Pada Isnin lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, Lynas Corporation tidak boleh diminta keluar dari negara ini seperti paria kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!